TVET berperanan menjadi agen perubahan dalam melahirkan mo­dal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara.

Malah, TVET juga mampu me­lahirkan tenaga kerja tempatan yang diperlukan oleh industri dan negara bagi mengharungi fenome­na Revolusi Industri 4.0.

Menyedari kepentingan TVET, kerajaan telah menjenamakan semula TVET sebagai TVET Malaysia sebagai satu usaha memperkasakan rakyat, selain memantapkan kolaborasi semua pihak berkepen­tingan dalam bidang itu agar TVET menjadi pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan yang lumayan serta berpotensi tinggi.

Penjenamaan semula TVET juga berupaya mengubah dan memperbetulkan persepsi ne­gatif masyarakat yang sering ber­anggapan bahawa sistem pendidikan itu pilihan kedua atau hanya diceburi mereka yang tidak mempunyai kelayakan aka­demik baik.

Melalui TVET Malay­sia, kerajaan akan me­nambah bilangan te­naga kerja mahir kepada 35 peratus menjelang 2020, selain meningkatkan kuantiti dan kualiti lulusan TVET de­ngan sasaran melahirkan 225,000 gra­duan TVET pada 2020 supaya agenda penyedia­an te­naga mahir di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tercapai.

Selain itu, kerajaan juga berhasrat untuk melatih 300,000 rakyat terutama golongan B40 dari tempoh sekarang hingga 2025 bagi membantu meningkatkan kemahiran rakyat sekali gus membina kehidupan yang lebih baik di masa akan datang.

Usaha itu adalah antara langkah yang dilakukan bagi mencapai sasaran kerajaan untuk melahirkan sebanyak 3.3 juta pekerja dengan 50 peratus daripada mereka merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Kini, terdapat kira-kira 1300 institusi TVET yang diuruskan oleh kerajaan mahupun pihak swasta, dengan menawarkan pel­bagai kursus kemahiran selari kehendak industri.