Guru Penyelaras, Mohd. Rafi Abd. Latif berkata, selain berpeluang menonton wayang, murid dibawa membeli belah di pasaraya Tesco IOI Mall Putrajaya dengan diiringi 17 guru dan pembantu pengurusan murid sekolah.

Menurutnya, aktiviti tersebut merupakan sebahagian aktiviti Terapi Multisensori dan Terapi Retail yang kemudiannya diaplikasikan pada kedua-dua program itu.

“Program ini mendapat kerjasama dan sokongan dari pihak pengurusan Tesco yang menyediakan berbagai aktiviti untuk murid berkeperluan khas masalah pembelajaran.

“Antara aktiviti yang disediakan seperti pertandingan berkumpulan membeli belah dan pertandingan mewarna malah pihak Tesco menyediakan hadiah dan cenderamata kepada murid yang terlibat,’’ katanya.

Menurutnya, dalam aktiviti menonton wayang ia bertujuan memberi pendedahan kepada murid berkeperluan khas ini bagi aktiviti rangsangan kepada perkembangan multisensori murid.

“Melalui program ini, murid dapat merasai pelbagai pengalaman melalui aktiviti berkumpulan dan terapi membeli belah boleh merangsang pelbagai deria penglihatan, pendengaran, sentuhan bau dan rasa di samping dapat membentuk sikap positif di kalangan murid,’’ katanya.

Menurut beliau, melalui aktiviti itu, ia memberi pendedahan kepada perkembangan sosial dan pergaulan, merangsang perkembangan minda dan meningkatkan komunikasi dengan masyarakat luar.

Malah, katanya, program itu memberi peluang kepada golongan berkenaan merasai pengalaman baru, malah dapat membentuk perkembangan minda dan diri mereka sejajar dengan matlamat penubuhan PDK dalam mengembangkan keupayaan murid berkeperluan khas.