Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Datuk Dr. Yasmin Hussain berkata, dalam tempoh tiga bulan ini, kementerian akan mengenal pasti guru-guru berkemahiran khas yang berada di aliran pendidikan arus perdana.

Katanya, pihak kementerian seterusnya akan menempatkan guru-guru berkenaan ke aliran khas sejajar dengan kemahiran mereka.

“Kita ada guru pendidikan khas yang ramai tetapi dengan penambahan pelajar pendidikan khas menerusi ZRP, ia sememangnya tidak cukup. Secara kasar, ada negeri tidak cukup dengan terdapat sekolah yang kekurangan tiga hingga lima guru.

“Sehubungan itu, kita akan melihat semua langkah seterusnya untuk kita lakukan agar masalah ini dapat diselesaikan dalam menampung keperluan bagi pendidikan khas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Lawatan Penanda Aras Pelaksanaan Zero Reject Policy Bagi Murid Berkeperluan Khas 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1), di sini hari ini.

Ketika ini sejumlah 15,218 guru pendidikan khas sedang berkhidmat di 8,579 Sekolah Kebangsaan (SK) dan SMK yang menawarkan pendidikan khas.

ZRP merupakan dasar sedia ada yang dimantapkan daripada segi pelaksanaannya bagi memastikan murid berkeperluan khas (MBK) menerima pendidikan yang selari dengan ketidakupayaan mereka sama ada ke sekolah sekolah arus perdana melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif atau ke Sekolah Pendidikan Khas.

Jelas Yasmin, berikutan perlaksanaan ZRP tahun ini, kementerian telah menerima pertambahan pendaftaran murid sebanyak lebih 3,038 orang kepada kira-kira 87,000 murid setakat ini.

“Pada 31 Oktober tahun lalu, sejumlah 83,598 murid berkeperluan khas direkodkan dan setakat hari ini sejak pelaksanaan ZRP, kita sudah terima pendaftaran 3,038 murid berkeperluan khas,” katanya.

Dari sudut fasiliti kata beliau, pihak kementerian akan memastikan terdapat kemudahan-kemudahan pendidikan khas sewajarnya di sekolah-sekolah terlibat.

“Setakat dua minggu pelaksanaan ZRP, setiap negeri secara umumnya tiada mssalah... Kalau ada sekali pun ia melibatkan beberapa isu yang dapat diselesaikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE