Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, alasan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa sebahagian daripada projek itu bermotifkan politik adalah tuduhan melulu.

“Saya harap Menteri Pendidikan dapat bertindak secara profesional dan jangan berfikiran sempit dengan buat tuduhan melulu kononnya pembinaan sekolah itu bersandarkan motif politik.

“Saya memang tidak faham apa yang dimaksudkan dengan mo­tif politik. Permintaan itu dibuat adalah berdasarkan permintaan komuniti Cina di negeri ini dan memang ada keperluan untuk bilangan SJKC ditambah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan MCA negeri, di sini kelmarin.

Semalam, kerajaan memutuskan dua daripada 10 pembangunan SJKC yang sudah dimulakan akan dite­ruskan, manakala lapan lagi akan diteliti kerana melibatkan sejumlah peruntukan dan terdapat isu ketelusan seperti bermotifkan politik.

Lima buah sekolah yang akan dibangunkan di Johor adalah SJKC Kuek Ho Yao (Tebrau), SJKC Sim Mow Yu (Plentong), SJKC Tun HS Lee (Ulu Tiram), SJKC Tan Kah Kee (Iskandar Puteri) dan SJKC Cheah Fah (Iskandar Puteri).

Lima lagi sekolah yang akan dibangunkan di Selangor ialah SJKC Lee Loy Seng (Kuala Se­langor) SJKC Sunsuria (Dengkil), SJKC Tun Ong Yoke Lin (Kuala Langat), SJKC Tun Lim Chong Eu (Puncak Alam) dan SJKC Too Joon Hing (Sepang).

Ka Siong yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Pendidikan Cina Malaysia berkata, kementerian berkenaan tidak seharusnya membuat keputusan seperti itu memandangkan terdapat keperluan bagi setiap pembangunan 10 SJKC baharu yang diluluskan di bawah kerajaan terdahulu.

“Sebagai contoh, SJKC Foong Yew 5 yang terletak di Taman Mount Austin mempunyai 3,800 pelajar dan jumlah itu akan me­ningkat dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, takkan masa itu baru hendak buat sekolah. Jadi, saya berharap pihak kementerian jangan mencari helah, bahkan kita sedia membantu kerajaan.

“Kalau kata keputusan dibuat kerana kos, saya jamin apa yang kita buat jauh lebih rendah berbanding sekolah lain. Saya boleh cari jurutera, arkitek yang tidak perlu bayar satu sen pun, juru ukur bahan saya minta supaya mereka buat kerja amal asalkan masalah ini selesai,” katanya.