Namun, tidak semua pelajar berpeluang untuk mendapat pengalaman berharga itu ketika berada di institusi pengajian tinggi (IPT).

Berbeza dengan pelajar-pelajar Management and Science University (MSU) yang diberi peluang untuk mendapatkan pendedahan global melalui program-program mobiliti universiti itu se­perti Global Mobility Programme (GMP), Global Leadership Programme (GLP) dan Global Internship Programme (GIP).

Program-program tersebut di­per­kenalkan MSU sebagai platform kepada para mahasiswanya memperkasakan pengalaman pembelajaran mereka ke peringkat global.

Melalui ketiga-tiga program itu, mahasiswa boleh memperoleh pengalaman pengajian di mana-mana rakan universiti MSU di seluruh dunia mengikut jangka masa tertentu.

Terdapat lebih 40 rakan universiti MSU di seluruh dunia antaranya di Jerman, United Kingdom, Portugal, Turki, Kazakhstan, Australia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Ireland, Hong Kong, India, Filipina, Indonesia dan New Zealand.

Antara yang berpeluang me­nimba pengalaman global itu adalah pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa daripada Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesio­nal yang berjaya terbang ke Turki melalui GMP.

Seramai lapan pelajar telah terpilih untuk menimba pe­ngalaman selama satu semester di Bilkent University, Turki dan ditempatkan di bawah Jabatan Pengurusan, Fakulti Pentadbiran Perniagaan universiti tersebut.

Bilkent University menja­di pilihan kerana ia adalah antara universiti terbaik di Turki. Oleh itu, pelajar-pelajar tersebut boleh memperoleh pengalaman baharu me­rangkumi aspek bahasa, budaya, suasana kampus, serta membina rangkaian rakan-rakan baharu dari pelbagai negara seperti Australia, Jepun, Itali, Korea Selatan, Perancis, Switzerland, United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat.

Menurut seorang peserta, Amir Asyraf Zainudin, kehidupan sebagai pelajar ketika berada di Turki ada­lah sesuatu yang menarik dan bermakna, malah menjadi satu pe­ngalaman berharga dalam hidupnya.

“Semasa minggu orientasi, kami bersama mahasiswa lain dari Korea Selatan dan Perancis telah muncul pemenang per­tan­dingan Exchallenge is the Challenge, yang diadakan khusus untuk pelajar antarabangsa. Kami berjaya melepasi tujuh cabaran termasuk rakaman video yang menerima jumlah Like tertinggi berbanding pasukan lain.

“Walaupun agak mencabar dalam aspek komunikasi kerana masyarakat tempatan hanya boleh bertutur dalam bahasa Turki, namun kami jadikan itu sebagai motivasi untuk mempelajari bahasa tersebut,” katanya.

Menurut Amir Asyraf, kaedah pembelajaran di Bilkent University yang berbeza berbanding di Malaysia tidak melemahkan sema­ngat pelajar-pelajar terlibat kerana ia menjadi nilai tambah kepada pelajar.

Malah, pihak Bilkent University juga banyak menerapkan kaedah pembelajaran interaktif melibatkan pensyarah jemputan dari luar untuk memberikan lebih pemahaman dalam setiap subjek, jelasnya.

“Pada masa sama, pembelajaran di Turki telah melengkapkan lagi pengalaman pembelajaran yang diterima di MSU, khususnya dalam aspek pembelajaran secara berkumpulan dan kreatif,” jelas Amir Asyraf lagi.