Usaha memperkasa peranan koperasi sebagai medan perkongsian maklumat dalam kalangan ahli serta membina rangkaian dengan pengusaha pelbagai latar belakang dan cabang perniagaan dari dalam atau luar negara perlu dikembangkan.

Menyedari hakikat itu, Koperasi Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu Berhad (Kosiswa UMT) dengan kerjasama Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) baru-baru ini telah menganjurkan program Terokai Bidang Industri Koperasi di Gaungzhou, China.

Seramai tujuh pelajar Kosiswa UMT dan seorang penasihat program terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Ahli Lembaga Koperasi Kosiswa UMT, Madihah Mohamed Razelan berkata, jaringan program keusahawanan koperasi di China itu dapat meningkatkan maklumat lebih tepat dan komprehensif berhubung keusahawanan koperasi.

Katanya, program jaringan ini juga dapat memberi pendedahan mengenai koperasi dan perniagaan baharu yang boleh dibangunkan oleh koperasi di universiti.

“Saya amat teruja pertama kali menjejaki kaki di Gaungzhou, China. Di sini saya dapat menimba pengalaman baharu dalam bidang keusahawanan dan koperasi. Insya-Allah pengalaman ini saya akan gunakan untuk membantu Kosiswa UMT pada masa depan,”katanya.

Madihah yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Agro Teknologi berkata, usaha menjana sumber kewangan baharu Kosiswa UMT pada masa depan perlu lebih kreatif dan proaktif bagi meneroka bidang baharu dalam industri koperasi universiti.

“Saya melihat usahawan koperasi di China sangat kreatif dan proaktif dalam meningkatkan keupayaan kewangan koperasi dalam membantu ahli-ahlinya,”katanya.

Sepanjang menyertai program itu, Kosiswa UMT turut berpeluang melawat kawasan perniagaan Nanfan iaitu pusat jualan barangan elektrik dan elektronik serta Nantai Market yang menjual peralatan mesin untuk perniagaan dan kelengkapan hotel.

Paling menarik Kosiswa UMT turut berpeluang mengunjungi Canton Fair iaitu karnival jualan tahunan yang mempamerkan pelbagai produk China yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.