Sebaliknya, hasil semakan Kementerian Pendidikan mendapati murid tersebut yang kini berumur sembilan tahun telah mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak masuk ke alam persekolahan pada 2017.

AMIN SENIN
AMIN SENIN 

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin menjelaskan, pihak sekolah telah membenarkan murid tersebut mengikuti kelas Pendidikan Moral selepas bapa kanak-kanak itu memberi maklumat awal tanpa mengemukakan sijil kelahiran.

“Berdasarkan maklumat ter­­sebut, pihak sekolah me­nganggap murid berkenaan beragama Hindu dan atas kategori tersebut, dia dibenarkan mengikuti kelas Pendidikan Moral.

Untuk rekod, dia telah diberi kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftar sebagai murid tanpa dokumen. Bagaimanapun, sehingga sekarang ibu bapa murid ini gagal memberi sijil kelahiran sebagaimana disyaratkan dalam kelulusan pada 2017,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Isnin lalu, portal Malaysiakini melaporkan dakwaan seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mendakwa anak perempuannya yang beragama Hindu dipaksa mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.

Menurut laporan tersebut, hal itu berlaku walaupun ibu kepada anak perempuannya itu memutuskan untuk keluar daripada agama Islam dan masih dalam proses rayuan di mahkamah.

Mengulas lanjut, Dr. Amin berkata, semakan terperinci susulan laporan media tersebut mendapati murid itu telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara sebagai seorang yang beragama Islam iaitu ibunya seorang Islam.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Pendidikan memahami situasi dihadapi ibu bapa terbabit dan menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan perkara tersebut.

“Tindakan sewajarnya akan diambil selari dengan keputusan mahkamah kelak,” katanya.