Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada pintu rundingan terhadap pelajar terbabit sebaliknya kes bagi kesalahan serius itu akan diserahkan sepenuhnya kepada polis.

“Kementerian melalui Jabatan Pendidikan tidak perlu berunding kerana elemen jenayah itu sudah wujud dan disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara bukannya guru disiplin sekolah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan 2.0 Parlimen Kuala Kangsar di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitternya berhubung tangkapan 18 individu termasuk 13 pelajar yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24, di Klang.

Menurut Khalid, kesemua mereka ditahan semalam di sekitar Selangor oleh sepasukan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman.- UTUSAN ONLINE