Pengawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestlé (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna berkata, Muhammad Haziq Amsyar Zaimi dan Muhammad Amirul Amir Md. Sa’ad, 15, tampil dengan menu Nasi Lemuni dengan Spiced Mackerel Rendang dihidang bersama Jantung Pisang dan Salad Pucuk Paku yang merupakan gabungan unik Barat dan Melayu tradisional.

“Kedua-dua mereka membawa pulang Piala MSSCC, hadiah RM3,000 peluang eksklusif untuk masuk televisyen kebangsaan dan pengembaraan kulinari tiga hari dua malam ke Kuching, Sarawak. Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan dari SMK Sura, Terengganu, Nor Mashitah Rani dan Khairunieha Khairuddin, 15, (Burger Nasi Kerabu, hadiah RM2.000).

“Tempat ketiga disandang Mas Skadauf Abdullah Sani dan Muhammad Syaqirul Alim Haspul Anuar, 15 dari SMK Syed Ibrahim, Kedah (RM1,000). Di Maggi, kami percaya bahawa memasak dapat mewujudkan saat indah untuk dikongsi dengan keluarga tersayang. Ini terbukti apabila peserta mendapat sokongan padu daripada guru-guru dan keluarga mereka,” katanya.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan, Rozainum Ahmad yang menyempurnakan perasmian pertandingan tersebut.

Peringkat Akhir MSSCC 2018 yang berlangsung pada 1 November lalu, menjadi medan pertarungan 15 pasukan pelajar 13 hingga 15 tahun yang mewakili negeri masing-masing dalam persaingan yang mengangkat tema ‘Anda dan Maggi, Sajikan Kelainan’ di mana peserta digalakkan perubahan menu gaya hidup sihat.

Pertandingan ini juga menyaksikan kerjasama 22 tahun dengan Kementerian Pendidikan dan kini mencapai satu mercu jaya dengan pelancaran portal pendidikan ‘Memupuk Masa Depan Lebih Sihat’, yang membolehkan pelajar dan guru-guru mendapat maklumat tentang cara memasak yang sihat, pemakanan dan lebih banyak petua memasak.

Sementara itu Rozainum dalam ucapannya berkata, kerjasama padu dengan Maggi adalah salah satu usaha menyokong agenda pendidikan yang berasaskan perkembangan dan pemantapan kemahiran untuk melahirkan generasi muda yang berbakat dalam bidang kulinari.

“Di samping melahirkan murid-murid yang kreatif, berinovasi serta bersedia menghadapi cabaran, MSSCC juga boleh menimbulkan kesedaran mendalam terhadap masakan berkhasiat dan pemakanan seimbang dalam kehidupan. Saya berharap agar kegemilangan program ini akan bergemerlapan di tahun-tahun hadapan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE