Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain kerajaan Pusat dan negeri, usaha itu turut didokong dengan padu oleh masyarakat, ibu bapa dan badan-badan lain dalam mencorak pendidikan berkualiti.

Beliau menarik perhatian, pendidikan berkualiti bagi generasi abad ke-21 kini menuntut kepada keupayaan berfikir aras tinggi dan sahsiah diri yang juga tinggi.

“Pembinaan sebuah negara bangsa dicorak oleh anak bangsa yang berilmu, intelektual dan pada masa yang sama, mempunyai rohani kukuh dan berbudi bahasa,”ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan program gotong-royong bersama masyarakat bersempena Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan, di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (Sekolah Kluster Kecemerlangan) di sini pagi ini.

Yang turut hadhir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Dalam majlis itu beliau memenuhi permintaan pihak sekolah untuk membangunkan sebuah dataran berbumbung bagi kemudahan berhimpun di samping menyaksikan serahan sumbangan RM20,020 oleh Gabungan Pemborong Kuari kepada pihak sekolah bagi menyediakan perisian komputer. - UTUSAN ONLINE