Penubuhan cawangan kampus itu walau bagaimanapun perlu mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa setempat di negara-negara terlibat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor Unimap bertitah, antara negara-negara berkenaan adalah seperti Indonesia, China, Uzbekistan dan Bangladesh.

Titah baginda, Unimap juga perlu berusaha menjadi peneraju dalam Translational Research (Penterjemahan Kajian) dan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) komuniti.

“Selain itu, memperkukuhkan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi serta mengkomersialkan lagi hak reka cipta dan hak milik intelektual,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menerima kunjungan sembah menghadap hormat oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Unimap yang baharu, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin di Bilik Tuanku Canselor Unimap, Kampus Unimap di Jejawi di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, timbalan-timbalan beliau serta bendahari dan timbalan pendaftar kanan universiti.

Kamarudin sebelum ini menjadi rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (Kukum) pada 2002 dan menjadi Naib Canselor Unimap selepas dijenamakan pada 2007.

Beliau melepaskan jawatan Naib Canselor universiti itu pada 2016 selepas 14 tahun berkhidmat dan menjadi antara naib canselor paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau juga kini merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). - UTUSAN ONLINE