Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi program berkenaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini baru-baru ini mendapati, kebanyakan murid yang terlibat teruja dapat menyertai dan berpeluang mencuba setiap aktiviti disediakan.

Nur Karmila Husna Rosmalizan
NUR KARMILA HUSNA ROSMALIZAN

Seorang peserta, Nur Karmila Husna Rosmalizan, 11, dari Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Jaya di sini berkata, dia gembira dapat menyertai program itu yang memberi pengalaman baharu dan pelbagai pendedahan kepadanya.

“Saya tertarik melihat orang kurang upaya melukis batik. Tidak sangka golongan itu boleh melakukannya dengan hasil yang cantik,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

Bagi Muhammad Samier Ha­zieq Mohd. Sahidi, 12, dari Taman Mentiga di sini pula, pelbagai pe­ngalaman dan ilmu baharu diperoleh termasuk bertemu dengan rakan-rakan dari sekolah lain ketika berkunjung ke program ber­kenaan.

“Saya kagum melihat orang yang cacat penglihatan membaca dengan beberapa inovasi ciptaan yang dipamerkan. Sebelum ini saya memang tidak tahu bahawa orang buta boleh membaca,” ujarnya.

AYURA ALONG
AYURA ALONG

Sementara itu, Ayura Along, 12, dari SKK SK Tasik Chini di sini gembira kerana dapat memper­kenalkan tarian masyarakat Orang Asli iaitu ‘kelundang’ kepada orang ramai yang mengunjungi program tersebut.

Menurutnya, tarian tersebut adalah tarian selamat datang bagi suku kaum Jakun di Tasik Chini.

“Tarian ini menggunakan asas gerak tari sewang dengan menggunakan kayu kelundang yang diketuk sebagai muzik iringan. Saya berbangga dapat mempersembahkannya kepada orang ramai,” katanya.