"Saya jatuh cinta dengan kebudayaan Melayu. Saya juga berlatih bahasa Melayu dengan mendengar salah satu saluran radio di Australia yang menyiarkan satu jam siaran bahasa Melayu setiap minggu," katanya kepada pemberita selepas majlis resepsi PABM Piala Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya baru-baru ini.

Sementara itu, peserta dari Jerman, Benedikt Aspacher, 25, pelajar tahun akhir kajian Asia Tenggara Frankfurt University berkata, baginya bahasa dan budaya Melayu kaya dengan pelbagai pengaruh dari seluruh dunia.

"Dalam bahasa dan budaya Melayu terdapat pengaruh Arab, Belanda dan sebagainya. Umpama seluruh dunia ada dalam satu bahasa," katanya. Jelas Aspacher, bahasa Melayu merupakan subjek wajib bagi pelajar kajian Asia Tenggara di universitinya.

Sejumlah 53 peserta daripada 35 buah negara termasuk Australia, Jerman, Azerbaijan, China, Fiji, India, Mesir, Nigeria, Palestin, Perancis dan Korea Selatan menyertai PABM yang memasuki edisi ke-11 dengan tema Pengantarabangsaan Bahasa Melayu berpadanan dengan konsep memartabatkan bahasa Melayu pada mata dunia. Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Antarabangsa, Alam Melayu (dahulunya dikenali sebagai kategori Nusantara) dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM).

PABM, cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum).

Peserta dari Jepun, Lisa Shimazaki telah dinobatkan Johan PABM 2017 bagi kategori Antarabangsa, manakala peserta dari China, Ma Xiao pula diumumkan sebagai naib johan, manakala peserta Uzbekistan Rimajon Sotlikova meraih tempat ketiga. - BERNAMA