Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, perkara tersebut antara isu yang dibangkitkan dalam perjumpaan dengan pengusaha tahfiz swasta di negeri ini baru-baru ini mengenai hala tuju dan jaminan kualiti sekolah tahfiz.

Katanya, dalam perjumpaan tersebut, pengetua dan pengusaha sekolah tahfiz tersebut turut diminta untuk berdaftar dan berusaha untuk meningkatkan kelengkapan dan kemudahan di sekolah sedia ada terutamanya yang menyediakan kemudahan asrama. 

“Mengenai saranan dua aliran pendidikan itu, terpulang kepada pihak sekolah tahfiz swasta sama ada mereka ingin patuh atau tidak terhadap usul yang dicadangkan dan kita tidak boleh memaksa mereka. 

“Program seperti ini sudah lama dipraktikkan di negeri ini dan saranan ini diberikan demi kebaikan masa depan pelajar menguasai pendidikan tahfiz seiring dengan akademik dan berpeluang cerah bagi melanjutkan pelajaran,” katanya selepas merasmikan Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat negeri di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE