Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, walaupun sumbangan agak perlahan, tetapi beliau yakin sasaran RM1 juta akan tercapai.

“Ada syarikat yang memberi komitmen menyumbang tetapi perlu menunggu kelulusan lembaga pengarah terlebih dahulu,” katanya ketika berucap pada program kutipan tabung berkenaan di kampus UiTM Puncak Alam hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan untuk berangkat menyertai Program Kayuhan Amal Bagi Mengisi Tabung Mobiliti Pelajar, manakala Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat dalam program berasingan untuk golongan wanita, tetapi bagi tujuan sama.

Hassan, pensyarah, pelajar UiTM dan orang ramai antara kira-kira 1,000 orang yang menyertai program tersebut.

Program kayuhan amal sejauh 15 kilometer (KM) bagi kategori orang kenamaan (VIP) dan 47 km bagi kategori terbuka.

Tabung Mobiliti adalah bertujuan untuk membiayai program pertukaran pelajar latihan industri.

Tabung itu juga digunakan untuk program persiapan bakal-bakal graduan, keusahawanan, persatuan dan kelab pelajar serta perbelanjaan tenaga pakar untuk mereka yang berada di bawah golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Pada pagi sama turut diadakan acara ‘GorGo Race – Queen of Sparta 2018’ bagi golongan wanita yang akan disertai Tuanku Hajah Lailatul Shahreen.

Ia berkonsepkan larian berhalangan dengan jarak kira-kira lima kilometer yang melalui 20 jenis halangan, melibatkan kawasan di dalam kampus.

Raja Muda Perlis ketika bertitah pula menyeru masyarakat menyumbang kepada pembangunan pendidikan seperti menyumbang kepada program dianjur oleh UiTM.

Tuanku dalam pada itu merasmikan klinik sukan woodball di kampus berkenaan.

Selain kampus UiTM cawangan Perlis yang bakal menjadi tuan rumah kejohanan peringkat kebangsaan, Perlis sendiri akan menjadi tuan rumah pertandingan woodball dunia pada 2020 selepas Chiengmai Thailand.

Dalam pada itu, masyarakat khusus korporat titah baginda mempunyai peranan penting memastikan pendidikan tinggi terbaik dikecapi pelajar.

Baginda berharap program hari ini membuka mata masyarakat terhadap tanggungjawab yang harus bersama dipikul itu. - UTUSAN ONLINE