Pengarah Tabung Haji Sarawak, Rozimin Ahamed Kamil berkata, pihaknya akan terus menjalankan program kecemerlangan bagi memastikan matlamat Tabung Haji untuk melahirkan lebih ramai profesional muslim dapat dicapai.

Menurutnya, pelbagai cabaran yang lebih berliku bakal ditempuhi oleh generasi sekarang dalam bidang pendidikan, namun begitu, melalui analisis yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan pada setiap tahun, terdapat peningkatan pencapaian para pelajar di beberapa peringkat seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Salah satu usaha dijalankan oleh pihak Tabung Haji untuk membantu kecemerlangan pelajar adalah melalui tajaan akhbar pendidikan Tutor, Utusan Malaysia yang bermula 2 Mei lalu di seluruh negara.

“Tajaan ini merangkumi akhbar Tutor untuk UPSR, PT3 dan SPM, melibatkan 83 sekolah dengan jumlah edaran sebanyak 135,450 naskhah bernilai RM81,270,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan akhbar Tutor, Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini hari ini.

Yang turut hadir Guru Besar SK Merpati Jepanf, Talip Joperi; Pegawai Pendidikan Daerah Kuching, Kamariah Said dan Eksekutif Pemasaran Utusan Melayu (M) Bhd. Cawangan Sarawak, Linda Ema Judin.

Rozimin berkata, SK Merpati Jepang merupakan antara tujuh sekolah yang dipilih di Sarawak untuk menerima sisipan tersebut, selain tiga sekolah rendah lain dan tiga sekolah menengah.

Katanya, pengisian akhbar pendidikan Utusan Malaysia dengan format terkini yang digubal oleh penggubal soalan sebenar yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan mampu membantu pelajar.

Selain itu katanya, pelbagai lagi program bakal diadakan oleh Tabung Haji di negeri ini seperti English Camp, Seminar Bimbingan Peperiksaan dan Seminar Bimbingan Peperiksaan SPM dan PT3, masing-masing akan diadakan di Sibu dan Kuching.

Sementara itu Talip berkata, pihaknya berbesar hati dengan program kecemerlangan dijalankan oleh Tabung Haji itu.

“Kerjasama erat terjalin antara guru, ibu bapa dan pihak Tabung Haji merupakan satu elemen ke­sepaduan kerjasama yang positif untuk meningkatkan martabat pendidikan negara,” ujarnya.