Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong, Bibit Marzuki berkata, kemudahan yang diberikan itu sebagai penanda aras untuk guru mengoptimumkan penggunaan ICT dalam PdPc dan penyediaan bantu mengajar yang dinamik serta interaktif.

“Aplikasi Tutor Guru pada tablet berkenaan sangat bermanfaat kerana selari dengan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dalam mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi keperluan abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis taklimat penggunaan dan Intervensi Tablet Guru yang dikendalikan Pegawai Pemasaran Utusan Malaysia, Nurul Nadhirah Zainuddin dan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin di sekolah itu di Kuala Selangor, baru-baru ini.

Dalam program dua sesi itu, 110 guru sekolah berkenaan dibim­bing bagaimana membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sum­ber rangsangan multimedia dan jawapan serta huraian.

Selepas tamat program itu, SMK Seri Tanjong diiktiraf sebagai Sekolah Mentor bagi program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Menurut Bibit, tablet yang dilengkapi aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia ini membantu mempermudah guru merancang pengajaran dengan sistematik dan profesional.

“Dua aplikasi tersebut membantu guru dalam menyediakan rancangan pengajaran lebih awal mengikut kesesuaian masa ma­sing-masing di lokasi yang ada capaian Internet.

“Dengan perancangan yang teratur, guru dapat meningkatkan kualiti PdPc yang memenuhi ke­perluan PAK-21,” katanya.