Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 5 Wangsa Maju, Lailane Mohamad berkata, dua aplikasi pada Tablet Guru itu sememangnya sangat membantu dalam penyediaan bahan bantu mengajar dengan cepat, sistematik dan profesional.

“Bahan bantu mengajar itu te­lah tersedia sama ada dalam bank soalan dan petikan berita mahupun menerusi carian terus daripada sumber lain di Internet.

“Guru hanya perlu mengintegrasikan bahan bantu mengajar tersebut mengikut kreativiti atau kaedah pengajaran masing-ma­sing,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Program Intervensi Tablet Guru yang dikendalikan Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam program yang disertai 50 guru itu, mereka dibimbing bagaimana membuat persedia­an aktiviti pengajaran dan pemudahcaraan dengan membina lembaran kerja digital yang mengandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan serta huraian.

Peserta juga diperkenalkan dengan aplikasi akhbar digital e-Paper Utusan Malaysia yang diberikan secara percuma untuk tempoh 5 tahun.

Pada akhir program, SMK Seksyen 5 Wangsa Maju diiktiraf sebagai Sekolah Mentor program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Panitia Sains Rumah Tangga, Nor Firdausiah Hamzah berpendapat, program intervensi ini memberi impak positif kerana memberi pendedahan mengenai dua aplikasi yang boleh dimanfaatkan oleh guru untuk memantapkan lagi perancangan pengajaran mereka.

“Dengan adanya aplikasi Tutor Guru, kami boleh menyediakan soalan dan bahan rujukan untuk proses PdP walaupun ketika berada di luar sekolah.

“Aplikasi yang mesra pengguna itu juga memudahkan guru menyediakan soalan dan memasukkan klip video,” katanya.

Bagi Cikgu Santhiya Ramadas, program intervensi dapat memberi pencerahan kepada guru tentang sumber yang boleh diguna pakai dan yang sedia ada dengan cara yang mudah serta portable.