Taklimat pengagihan, maklumat mengenai tablet, aplikasi Tutor Guru, e-Paper Utusan Malaysia, meja bantuan serta sebagainya telah dilaksanakan oleh pihak Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan Kumpulan Utusan, sama ada di BTP Negeri (BTPN) atau di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang terbabit.

Selepas ini, sesi taklimat wakil sekolah akan diadakan secara berpusat dan merata, diikuti penyerahan dan program intervensi di beberapa sekolah mentor terpilih oleh fasilitator dari Kumpulan Utusan.

Alhamdulilah, semuanya sudah jelas, guru di tiga kawasan ini akan mula menggunakan tablet ini. Selamat datang ke dunia pendidikan abad ke-21 (PAK-21).

Semoga, penganugerahan tablet guru membolehkan guru merancang pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) secara profesional dan sistematik.

Terima kasih kepada kerajaan kerana anugerah ini yang akan menjadi hak milik guru tanpa syarat.

Bila tiba waktunya, se­­perti ma­na biasa, wakil sekolah akan datang untuk menandatangani borang-borang, yang juga perlu dicap dan disusun pula ikut urutannya .

Dengan penerimaan tablet ini, setiap guru telah menikmati prinsip kesamarataan ekuiti dalam pendidikan.

Gunakanlah tablet ini untuk tujuan merancang pengajaran dan pembelajaran (PdP), kerana itulah tujuan utamanya.

Ketika membangunkan aplikasi Tutor Guru yang menjadi teras kepada projek tablet ini, faktor yang sangat diambil berat ialah ciri mesra PdP, mengeksploitasi kemahiran minimum guru dalam teknologi maklumat dalam komunikasi (TMK) dan membantu meningkatkan profesion individu guru itu sendiri.

Pelbagai kursus TMK yang didedahkan sepanjang berkarier memadai untuk mengoperasikan Tutor Guru.

Kerangka pembangunan teori­tikal adalah cuba mematuhi Standard Guru Malaysia, Penilai­an Bersepadu Pegawai Per­khidmatan Pendidikan, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2, kehendak kurikulum semasa dan secocok dengan PAK-21.

Tiada kemahiran canggih atau tambahan yang perlu diketahui oleh guru.

Kalau rajin, guru boleh menambah ilmu dengan mencari di Google maklumat tentang teknik pencarian bahan secara yang khusus, tepat kepada tajuk dan mengikut format file yang mereka mahu guna untuk disisipkan dalam segmen bahan rangsangan di Tutor Guru.

Semuanya hanya klik, copy URL, taip bahan yang hendak dicari, play, dan simpan. Guru yang gagap TMK boleh belajar dari rakan sekerja atau ahli keluarga bagaimana untuk menggunakan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Bank soalan pun disediakan. Pilih saja tahap, topik dan tampal di lembaran kerja digital. Cuma, soalan bukan bertaraf item pe­periksaan. Soalan untuk pemahaman sesuatu topik, sejajar dengan semangat lembaran kerja digital.

Kesemuanya diadun dalam satu ekologi PAK-21 yang me­rentasi pedagogi, psikologi dan teknologi.

Pemberian kalau disambut dengan rungutan dan sungutan umpama udang yang dilengkapi sepit, tombak, gergaji dan perisai, tetapi ‘agak keberatan’ menggunakannya di dalam lautan tidak bertepi dan bergelora.

Rendahkan perasaan gelisah. Tingkatkan minda positif. Kita telah memilih kerjaya ini, maka kita akan melakukannya mengikut standard yang ditetapkan biarpun berat bahu memikul.

Pengetua dan Guru Besar (PGB) berperanan sebagai pemimpin berimpak tinggi yang berupaya menggembleng dan menggerakkan warga sekolah secara bersepadu untuk memajukan sekolah dan meningkatkan kualiti PdP.

PGB menerajui aktiviti instruksional secara berkesan.

Bagi memastikan objektif penggunaan tablet ini tercapai, maka program integrasi tablet perlu berlaku merentas perancangan instruksional.

Pihak PGB boleh menggalakkan guru menggunakan tablet ketika melaksanakan PdP, menyediakan Rancangan Pelajaran Harian (RPH), menaksir tahap penguasaan murid dan menye­mak hasil kerja murid mengikut arahan yang berkuat kuasa, mematuhi jadual, secara tekal dan menyeluruh.

PGB perlu terus menerus memberikan motivasi, sokong­an dan galakan kepada warga sekolah dengan memberi penghargaan, maklum balas positif, menyediakan keperluan dan melibatkan diri dalam aktiviti penggunaan tablet guru secara tekal, menyeluruh dan mengikut keperluan.

Alat bantu mengajar ini perlu diurus bagi menyokong peningkatan kualiti pendidikan.

Seperti yang kita sedia maklum, guru bertanggungjawab perlu mengurus sumber pendidikan dengan:

i. menyediakan alat/ bahan, bahan cetak/ elektronik dan TMK

ii. menyimpan dan menyusun atur alat/ bahan, bahan cetak/ elektronik dan TMK

iii. menggunakan alat/ bahan, bahan cetak/ elektronik dan TMK

iv. merekodkan penggunaan alat/ bahan, bahan cetak/ elektronik dan TMK

v. melaksanakan penyeliaan penggunaan alat/bahan, bahan cetak/ elektronik dan TMK.

Guru perlu mengawal suasana pembelajaran secara profesional dan terancang.

Dengan tablet ini, guru boleh mendorong minda murid dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran dengan:

i. merangsang murid berkomunikasi

ii. merangsang murid berkolaboratif dalam aktiviti pembelajaran

iii. mengemukakan soalan yang menjurus ke arah pemikiran kritis dan kreatif

iv. mengajukan soalan/ mewujudkan situasi yang menjurus ke arah membuat keputusan dan menyelesaikan masalah

v. mewujudkan peluang untuk murid memimpin

vi. menggalakkan murid mengemukakan soalan berkaitan isi pelajaran

vii. menggalakkan murid memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara kendiri.

Dengan pembelajaran bersumberkan bahan tanpa sempadan yang disediakan Tutor Guru, maka guru boleh sahaja mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan murid dengan isu-isu lokal dan global.