Guru Penolong Kanan Pentad­biran Sekolah Kebangsaan (SK) USJ 12, Nik Hasni binti Nik Abdullah berkata, dengan tablet berkenaan guru dapat mengakses maklumat dengan cepat sekali gus menjadikan mereka golongan yang dilengkapi informasi terkini dan sahih.

“Dari aspek pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) pula, aplikasi Tutor Guru menjadi platform untuk pendidik membuat ran­cang­an pengajaran secara sistematik dan penyediaan soalan yang lebih berkualiti.

“Malah, penggunaan aplikasi Tutor Guru juga memudahkan dan mempercepat guru merancang PdPc dengan menggunakan pelbagai sumber yang sedia ada di Internet termasuk e-Paper Utusan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Intervensi Tablet Guru yang dikendalikan Pegawai Pemasaran Utusan Malaysia, Nurul Nadhirah Zainudin di sekolah itu di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Dalam program yang disertai 60 guru itu, mereka dibimbing bagaimana membuat persediaan aktiviti PdPc yang memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) menggunakan aplikasi Tutor Guru iaitu dengan membina lembaran kerja digital yang me­ngandungi soalan latihan, sumber rangsangan multimedia dan jawapan serta huraian.

Guru juga diperkenalkan de­ngan aplikasi akhbar digital e-Paper Utusan Malaysia yang diberikan secara percuma untuk tempoh lima tahun.

Pada akhir program, SK USJ 12 diiktiraf sebagai Sekolah Mentor program penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai program intervensi ini, Nik Hasni berkata, kini guru memahami secara jelas bagaimana untuk menggunakan Tablet Guru bagi membantu me­ningkatkan kualiti PdPc masing-masing.

“Pihak sekolah rasa sangat bertuah kerana terpilih dalam projek ini bagi kesinambungan menuju PAK-21,” katanya.