Baginya, negara itu terutama penduduknya menjalani kehidupan dengan cukup baik dan berdisiplin. Malah nilai-nilai murni yang ada seperti menjaga kebersihan serta menepati masa, selari dengan ajaran Islam yang dianuti oleh majoriti rakyat di negara ini. 

Justeru apabila diberi amanah untuk mengajar subjek Bahasa Jepun dan dilantik selaku Ketua Panitia Bahasa Jepun di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, sejak 2013, beliau tidak mahu menjalankan tugas sekadar melepas batuk di tangga sebaliknya berusaha mewujudkan inovasi dalam teknik pembelajaran.

Antaranya dengan mewujudkan suasana negara matahari terbit itu di dalam kelas yang dikhaskan untuknya menerusi pelbagai barangan seperti buku serta hiasan bercirikan Jepun antaranya koinobori (bendera ikan), origami serta yukata (langsir).

Menurut anak jati Sanglang, Perlis itu, segala yang dilakukannya semata-mata bagi menambah minat para pelajar dalam menghayati bahasa dan budaya masyarakat di Jepun.

“Setakat ini saya sudah berbelanja sebanyak RM5,000 daripada poket sendiri untuk membeli pelbagai peralatan yang ada di dalam kelas ini. Saya tidak kisah kerana gembira dengan peranan yang dipertanggungjawabkan ini selain berharap supaya anak didik menjadi lebih bersemangat untuk belajar.

“Kalau mereka tak dapat ke Jepun pun, sekurang-kurangnya di kelas ini ada suasana seperti di sana. Ada antara barangan yang saya beli sendiri seperti Manga (komik Jepun), cakera padat digital (DVD), buku serta permainan dan ada juga yang disumbangkan oleh pihak tertentu,” katanya.

Antara perkara yang turut menarik perhatian dalam kelas tersebut adalah meja-meja lama yang dipotong kakinya sehingga menampakkan seolah-olah seperti meja Jepun selain para pelajar perlu membuka kasut dan duduk bersila seperti diamalkan di negara tersebut.