Kho Zhen Jia dan isterinya, Hor Sze Lim serta pasangan adik-beradik R. Sivaneswaran dan R. Sheela antara 214 graduan Putra Business School (PBS) iaitu Program Kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), pada tahun ini.

Bagi Kho dan Hor masing-masing berusia 34 tahun, mempunyai tiga orang anak kecil yang kini berumur satu hingga enam tahun, bukan penghalang untuk mereka bersama-sama melanjutkan pelajaran secara sambilan dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan).

Kho yang merupakan pemilik sebuah syarikat berkaitan teknologi maklumat (IT) dan isteri­nya seorang eksekutif di sebuah syarikat multinasional membuat keputusan melanjutkan pelajaran supaya dapat menjadi contoh kepada anak-anak mereka.

Sementara itu, bagi Sheela, 31, beliau membuat keputusan me­nyambung pengajian dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pe­ngurusan Sumber Manusia) bagi mengikut jejak langkah abangnya Sivaneswaran, 39, yang mengambil Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa).

Berbeza dengan abangnya yang belajar secara sepenuh masa, Sheela yang bertugas dengan sebuah bank tempatan, berkata cabarannya lebih besar memandangkan beliau belajar secara sambilan.

“Bagi saya susah sedikit sebab terpaksa bahagi masa dengan kerja, tetapi abang saya ada membantu, walaupun kami tidak sama kelas, tetapi untuk peperiksaam kami boleh belajar bersama-sama,” katanya.

Sivaneswaran yang berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, walaupun mendapat cuti belajar, cabaran beliau pula berbeza apabila perlu membahagikan masa dengan keluarga.

Dalam pada itu, tiga pegawai kerajaan, Muhamad Salim Mohd Ali, Mafidah Mansor dan Nor Azahar Manap pula dinobatkan sebagai antara penerima anugerah kerana kecemerlangan mereka pada majlis konvoke­syen tersebut.

Muhamad Salim, PTD di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mengambil Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa), menerima Anugerah Presiden.

Mafidah (eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri) graduan Sarjana Pengurusan (Teknologi Maklumat) dan Nor Azahar (PTD di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) yang merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) adalah dua pene­rima Anugerah Tadbir Urus Insan. – BERNAMA