Keputusan itu merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah peperiksaan tersebut di negeri ini yang sekali gus mengekalkan kedudukan bagi tahun ketiga berturut-turut dengan mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.85 mengatasi PNGK nasional 2.71.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin membe­ritahu bahawa sebanyak 39 daripada 47 buah sekolah di negeri ini mengatasi gred minimum PNGK nasional dengan sekolah-sekolah di kawasan bandar mencatat purata PNGK 2.84, manakala sekolah di luar bandar 2.85.

“Seramai 15 calon memperoleh Semua A penuh (PNGK 4.0), 55 calon memperoleh Semua A (2.44 peratus) manakala 5P&4P pula seramai 1,785 (79.19 peratus), Lulus Penuh - seramai 2,248 (99.73 peratus) dan Lulus Sebahagian melibatkan 5 calon (0.22 peratus).

“Sejumlah 2,254 calon menduduki peperiksaan itu di ne­geri ini, mencatatkan peningkatan ber­banding 1,914 pada tahun sebelumnya,” ujar beliau ketika mengumumkan keputusan STPM 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, di sini hari ini.

Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu muncul sebagai sekolah terbaik negeri dengan PNGK minimum 3.27, manakala calon dari SMK Bukit Payong Besut, Siti Zubaidah Ismail tersenarai antara pelajar terbaik di peringkat nasional.

Bagi pencapaian minimum PNGK, katanya, daerah Marang mencatat kedudukan teratas de­ngan Gred Purata (GP) 2.93, dikuti Besut (2.91), Kuala Terengganu (2.886), Kemaman (2.85) dan Dungun (2.84).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang turut hadir dalam majlis itu menambahkan kegembiraan dan ke­terujaan 70 pelajar cemerlang apabila menerima ganjaran isti­mewa berupa komputer riba (bagi 15 calon terbaik) dan baucer tablet (kepada 55 calon lain).

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri membe­lanjakan hampir RM100,000 bagi pemberian insentif segera itu sebagai penghargaan atas kegigihan pelajar-pelajar terbabit dan sebagai perangsang untuk meneruskan kecemerlangan di insitusi pengajian tinggi kelak.

Menurutnya, insentif lain akan diumumkan kemudian termasuk kepada Siti Zubaidah yang tersenarai antara pelajar terbaik di peringkat nasional, di samping kepada sekolah dan pegawai pendidikan daerah terbaik.

Ahmad Razif mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pendidikan negeri yang berjaya menterjemahan gagasan negeri untuk melakukan transformasi dalam bidang pendidikan.

Katanya, strategi memperba­nyakkan sekolah prauniversiti di luar bandar berjaya memberi impak berkesan sehingga mampu mengatasi sekolah-sekolah di bandar.

Beliau menarik perhatian, mana-mana pelajar yang cemerlang berpeluang mendapat biasiswa dalam bidang kejuruteraan serta teknikal penerbangan tajaan ADMAL Sdn. Bhd. di Pusat Latihan Penerbangan di Tok Jembal dekat sini.

“Syarikat berkenaan menawar­kan tajaan kepada 50 pelajar mem­babitkan nilai RM4 juta dan mereka yang berminat boleh merujuk dengan Yayasan Terengganu,” katanya.

Ahmad Razif Abdul Rahman (enam dari kiri) bersama Shafruddin Ali Hussin (tujuh dari kiri) meraikan pelajar cemerlang STPM 2016 di SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2016 bagi sekolah-sekolah Terengganu di Dungun, semalam. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM