Pengarah Pendidikan ne­geri, Datuk Rosdi Ismail berkata, bilang­an lulus penuh bagi empat mata pelajaran turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.52 peratus.

“Secara keseluruhan, seramai 2,461 calon STPM tahun lalu atau 99.47 peratus mendapat keputusan lulus penuh untuk sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan mengatasi pencapaian peningkatan nasional sebanyak 98.54 peratus.

“Jumlah calon yang mendapat Purata Nilai Gred Ke­seluruhan (PNGK) 3.00 ke atas juga menunjukkan peningkatan 44.46 peratus atau 1,100 calon, mengatasi pencapaian 40.22 peratus atau 870 calon yang mendapat PNGK 3.00 pada peperiksaan STPM tahun sebe­lumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rosdi, seramai 51 calon mendapat PNGK 4.00 bagi peperiksaan sesi 2016 berbanding 21 orang pada 2015.

“Dua daripada mereka, Wong Khai Shen dari Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Mentakab, Temerloh dan Tan Mee Yee dari SMK Sulaiman, Bentong juga diberi Anugerah Calon STPM Terbaik 2016 Peringkat Kebangsaan hari ini,” jelasnya.

Tambahnya, Pencapaian pe­lajar STPM di negeri itu pada tahun lalu turut menyaksikan 2.02 peratus calon memperoleh keputusan 5P berbanding 1.8 peratus bagi sesi 2015.

“Bagi jumlah calon yang mendapat keputusan 4P pula, dicatatkan peningkatan kepada 77.15 peratus mengatasi pencapaian 75.64 peratus pada tahun sebelumnya,” ujarnya.