Sekolah ketagori luar bandar itu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.24 sekali gus merupakan penca­paian terbaik setakat ini sejak format baharu STPM dimulakan pada 2013.

Penolong Kanan (Tingkatan Enam), Tuan Norizan Raja Salleh berkata, seramai 77 calon calon mendapat gred PNGK 3.0 ke atas termasuk lima calon yang memperoleh pencapaian terbaik PNGK 4.0.

“Kita juga muncul sekolah terbaik peringkat daerah Pasir Mas selain memperbaiki kedudukan peringkat negeri apabila menduduki tempat kedua berbanding tempat keempat tahun sebelum ini. Seramai 109 calon mengambil peperiksaan STPM tahun lalu dan kesemuanya lulus.

“Sebelum ini, dalam keputusan STPM 2015 seorang pelajar kami pernah dinobat pelajar terbaik negara bagi kategori sekolah luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan STPM di sekolah itu di sini hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil komitmen semua guru dan pelajar selain peranan alumni yang sering turun menganjurkan pelbagai program bimbingan.

Lima calon sekolah itu yang memperoleh PNGK 4.0 adalah Muhammad Khairul Mohd., 20; Razan Nasran, 20; Nur Aimaa Mohd. Kamaruddin, 20; Nur Ain Mohd. Noh, 20 dan Wan Akmal Alif Wan Zaini, 20.

Sementara itu, Wan Akmal Alif ketika ditemui berkata, dia bersyu­kur kerana tindakannya menolak tawaran ke sebuah universiti tempatan selepas sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibalas de­ngan kejayaan cemerlang dalam STPM.

Anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Wan Zaini Wan Zain, 59 dan suri rumah, Norma Ghaza­li, 56, itu kini bekerja di sebuah kedai buku untuk mengumpul wang ke universiti.

“Saya mendapat 7A semasa SPM tetapi terpaksa menolak tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) kerana perlu menjaga emak yang sakit kencing manis.

“Kini keadaan emak sudah bertambah baik dan saya berharap dapat menyambung pe­ngajian ke peringkat tinggi dan menggapai cita-cita menjadi seorang pensyarah,” katanya.