Pengetua SMAP Kajang, Mohd. Abd. Aziz Mahmud berkata, keputusan membanggakan semasa menyertai Kem Pelajar dan Bengkel Guru untuk Mereka yang Berbakat dalam Sains ASEAN+3 Ke-8 sebelum ini menunjukkan sekolah tersebut berada di landasan yang betul untuk kecemerlangan.

“Kita sememangnya mempunyai pendekatan tertentu dalam menyediakan pelajar untuk menyer­tai pertandingan-pertan­dingan seumpama ini. Sejak dari peringkat awal lagi kita akan memberi pendedahan kepada mereka.

“Kemenangan di China ini ju­ga adalah momentum daripada kecemerlangan kita pada Malay­sian International Young Inventors Olym­piad (MIYIO) yang di­adakan di Universiti Sains Malaysia sebelum ini dengan pencapaian satu emas, dua perak dan satu gangsa,” katanya.

Beliau ditemui dalam majlis menyambut kepulangan pelajar-pelajar SMAP Kajang dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Nor Hisham Abdullah Sani.

Jelas Mohd. Abd. Aziz, pi­hak­­nya akan terus melahirkan barisan pelapis kepada me­reka yang berjaya dalam pertandingan-per­tan­dingan tersebut sebagai usaha un­tuk melonjakkan nama sekolah dan negara secara amnya.

Sementara itu, pemenang pi­ngat emas pertandingan tersebut, Ahmad Irfan Muhamad Ab­dul Karim, 15, berkata, dia bangga kera­na dapat mengharumkan nama negara.

“Jika berpeluang lagi untuk bertanding, saya ingin membuat yang lebih baik. Saya berharap kemenangan ini membawa kecemerlangan yang kukuh buat nama SMAP Kajang di persada dunia,” katanya.

Sementara itu, dua pingat pe­rak dimenangi oleh Nurul Aqilah Mohamad, 15, dan Nabil Fikri Mat Zaki Abdul Shukor, 15, manakala gangsa diraih oleh Nurin Irdina Haswanie Mohd. Nazri, 15, serta Amal Irham Rozaini, 15.