Tajaan buat tahun kedua berturut-turut itu dibuat selepas sekolah tersebut berjaya me­nunjukkan prestasi membanggakan dalam UPSR tahun lalu biar pun terletak dalam kawasan luar bandar.

Guru Besar SK Sungai Pelek, Norazian Muhamad berkata, kesan positif pencapaian akademik dan kandungan soalan latih tubi dalam Tutor yang menekankan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) merupakan antara sebab pihaknya mencadangkan supaya langganan akhbar tersebut diteruskan.

“Sejak format UPSR diubah dengan menekankan elemen KBAT, murid-murid di sekolah ini memerlukan soalan latih tubi berkualiti tinggi seperti Tutor yang menyediakan soalan-soalan seperti peperiksaan sebenar.

“Selain itu, murid-murid juga gembira menggunakan akhbar Tutor kerana mudah dibawa ke mana-mana dan bila-bila masa memandangkan saiznya yang kecil serta mudah dilipat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyerahan sumbangan akhbar Tutor di sekolah tersebut di sini hari ini.

Yang hadir sama, Eksekutif Jualan Bangi/Putrajaya Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., Mohd. Firdaus Ahmad Sabli.

Menurut Norazian, sebagai sekolah yang terletak di kawasan luar bandar, sumbangan orang ramai bagi membantu meningkatkan prestasi murid di sekolah tersebut sangat dialu-alukan dan dihargai.

Beliau berkata, pihaknya berharap sumbangan dan kerjasama tersebut dapat diteruskan lagi di tahun-tahun akan datang demi pembangunan akademik murid di kawasan luar bandar.

Sementara itu, menurut seorang murid sekolah tersebut, Muhammad Faiq Haikal Shahron, dia berharap latih tubi yang disediakan dalam Tutor dapat meningkatkan lagi pengetahuannya dalam semua subjek.

Dia yang turut terpilih menyertai program The Champion iaitu sebuah program khas yang diper­kenalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor berharap dapat mengharumkan nama sekolah dengan memperoleh keputusan semua A dalam UPSR tahun ini.

“Saya berharap dengan latihan tambahan yang disediakan oleh Tutor di samping ilmu yang diberikan oleh guru-guru di dalam kelas dapat membantu memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR,” katanya.