Mohamad Sahaimi

Guru sekolah itu, Mohamad Sahaimi Zainal, 40, berkata, usaha itu dimulakan pada 2015 dan murid sekolah berkenaan yang majoritinya Orang Asli menunjukkan minat terhadap sukan tersebut.

Sehingga kini, katanya, terdapat kira-kira 20 murid SK Simpai menyertai program perayu layar tersebut.

“Kita juga berjaya melahirkan seorang atlet yang beraksi sehingga Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) iaitu Arryzammy Abu, 12. Dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP), kita berjaya memperoleh dua emas, dua perak dan dua gangsa.

“Kini, kita sedang melatih seorang murid orang kurang upaya (OKU), Rasan Rely, 11, yang menunjukkan minat tinggi terhadap sukan pelayaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Jelajah Pendidikan 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Mohamad Sahaimi berkata, melalui program Jelajah Pendidikan tersebut, SK Simpai dapat berkongsi usaha sekolah itu dalam me­lahirkan atlet perahu layar selain dapat mengetahui pencapaian sekolah lain.

“Program Jelajah Pendidikan ini adalah program terbaik untuk meningkatkan bukan sahaja pencapaian sekolah malah muridnya,” katanya.

Sementara itu, Arryzammy berkata, dia meminati sukan pelayaran dan bercita-cita menjadi atlet berjaya suatu hari nanti.

“Saya bermula dengan latihan di sungai, biarpun dari segi kelengkapannya tidak mencukupi ia bukan halangan dan tidak mematahkan semangat.

“Apa yang penting adalah minat dalam sukan ini,” katanya.