Tragedi malang itu menyebabkan murid-murid berkenaan bersama tujuh orang guru terpaksa meneruskan sesi persekolahan termasuk di kantin sekolah.

Namun, kebakaran tersebut tidak sekali-kali melemahkan semangat murid-murid serta guru berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Kampung Pulau Selakan, kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot dari Semporna, mendapati semangat dalam kalangan murid-murid SK Selakan tetap tinggi dan mereka meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.

Guru Besar sekolah berkenaan, Armi Mohd. Salleh memberitahu, pihaknya dimaklumkan bangunan sekolah baharu kini dalam proses penilaian setelah mendapat kelulusan kementerian.

Menurutnya, walaupun murid terbabit terpaksa belajar di bangu­nan sementara termasuk di kantin sekolah, namun semangat mereka sentiasa tinggi.

“Sekolah ini mempunyai 15 orang murid dari Tahun Satu hingga Tiga. Juga 11 murid di pe­ringkat prasekolah,” katanya baru-baru ini.

SK Selakan yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) mempunyai tiga murid di Tahun Satu, enam murid (Tahun Dua) dan enam murid (Tahun Tiga).

Bagi murid Tahun Empat hingga Enam, mereka ditempatkan di sekolah sekitar bandar Semporna.

Sementara itu, seorang guru, Asbullah Bool memberitahu, murid-murid sekolah berkenaan tetap bersemangat tinggi untuk meneruskan sesi persekolahan walaupun bangunan utama sekolah musnah dalam kebakaran sejak dua tahun lalu.

“Mereka datang ke sekolah seperti biasa dengan lengkap berpakaian seragam selain menyertai aktiviti sukan,” katanya.