Bukan sekadar pencapaian sari­ngan murid-muridnya yang menjadi kebanggaan bahkan tahap kefahaman dan komitmen tenaga pengajar serta seluruh warga sekolah dalam menjayakan program untuk memastikan anak bangsa tidak tercicir itu, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

  Sejak digerakkan pada tahun 2010, pihak sekolah giat memperkasakan aktiviti ke arah kecemerlangan Linus dengan pelbagai pende­katan kreatif termasuk me­wu­judkan program anak ang­kat, perjumpaan de­ngan ibu bapa, pertandingan bacaan dan tulisan mekanis, majlis penghargaan dan kecemerlangan murid.
  Guru-gurunya juga aktif menganjurkan kelas tambahan pada hujung minggu bagi memenuhi tanggungjawab mengajar dan mendidik.
 Guru Besar SK Oh, Zuraidi Wahid  (gambar kecil) berkata, usaha membimbing kesemua murid yang bermasalah tidak terhad kepada modul pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas kerana apa yang le­bih penting adalah penglibatan serta sokongan daripada keluarga.
“Bagi sesi pembelajaran kali ini, keseluruhan murid Linus seramai 33 orang melibatkan 11 murid Tahun Satu, lapan orang (Tahun Dua) dan 14 orang (Tahun Tiga) dibantu sembilan guru.
“Kebanyakan murid daripada keluarga petani, jadi cabaran yang dihadapi adalah dari segi sosioekonomi keluarga. Oleh itu kita ge­rakkan perjumpaan dengan ibu bapa agar  kita boleh tunjukkan satu persatu secara individu perkembangan anak-anak tersebut,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
  Menurut Zuraidi, dua siri perjumpaan telah diadakan tahun ini dan pihaknya menggalakkan guru-guru untuk merakam video murid-murid Linus ketika membaca, menulis atau mengira bagi dilihat keluarga masing-masing.
“Bagi meningkatkan jati diri murid, kita sepakat mengadakan pertandingan bacaan dan tulisan mekanis pada setiap pagi semasa perhimpunan. Ini sebagai penghargaan buat mereka yang menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran dan hasilnya murid berlumba-lumba untuk berubah.
“Di samping itu, saya sering berpesan kepada guru-guru agar kreatif dalam P&P. Bagi membangkitkan keseronokan belajar kita wujudkan bilik Linus dan sudut Linus di tangga-tangga bangunan sekolah ini,” katanya.
  Zuraidi memberitahu, setakat saringan satu pada bulan Mei lalu, pencapaian murid literasi bahasa Melayu bagi Tahun Satu adalah 63.16 peratus, Tahun Dua (100 pera­tus) dan Tahun Tiga (85.7 peratus) manakala bagi literasi bahasa Ing­geris adalah sebanyak 52.63 peratus untuk Tahun Satu, Tahun Dua (61.9 peratus) dan Tahun Tiga (33.33 pera­tus).
Katanya, bagi pencapaian numerasi pula adalah 84.21 peratus untuk Tahun Satu dan 85.71 peratus (Tahun Dua) serta 85.7 peratus (Tahun Tiga).
  “Tahun ini kita mendapat Anu­gerah Tawaran Baharu daripada Ke­menterian Pendidikan hasil lonjakan ranking kepada kedudukan 1,428 daripada keseluruhan 7,000 sekolah di Malaysia.
“Program Linus ini terbukti mem­beri manfaat besar dalam me­ngatasi masalah keciciran murid. Justeru dengan adanya usaha-usaha sebegini kita berharap dapat merea­lisasikan impian untuk bergelar sekolah kluster kecemerlangan dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.