Guru Besar SK Kayang, Noridah Hamdan berkata, menerusi usaha tersebut, murid-murid berpeluang mengikuti bahan pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang disediakan syarikat teknologi pendidikan, FrogAsia Sdn. Bhd. (FrogAsia) secara maya, sama ada di dalam mahupun luar sekolah.

Beliau berkata, sebagai pentadbir sekolah, pihaknya amat menyokong perkembangan tersebut kerana selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025.

“SK Kayang rasa bertuah kera­na terpilih untuk mewujudkan Ke­las Frog VLE oleh Yayasan YTL dengan sebahagian kosnya disumbangkan oleh mereka.

“Menerusi Kelas Frog VLE, murid-murid berpeluang belajar secara maya menggunakan komputer riba Chromebook dan tidak lagi hanya tertumpu di dalam kelas semata-mata,” katanya ketika ditemui di kelas tersebut di Kuala Perlis, baru-baru ini.

Selain dipilih Yayasan YTL untuk mewujudkan Kelas Frog VLE, Noridah turut menerima Penghargaan Khas, Anugerah Guru 1BestariNet 2017 oleh FrogAsia sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam membudayakan PAK-21.

Dalam pada itu, Guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) SK Kayang, Zaharah Talib mengakui, terdapat peningkatan minat murid-muridnya dalam pem­belajaran di sekolah sejak me­reka diperkenalkan dengan Kelas Frog VLE.

“Ini termasuklah murid-murid yang sebelum ini lemah tetapi kini telah menunjukkan minat dalam pembelajaran, malah lebih ke hadapan (penggunaan) berbanding guru pengajar.

“Kelas ini juga sudah tentu memudahkan guru-guru kerana semua kandungan PdP sudah disediakan FrogAsia dan kita hanya perlu membimbing murid-murid sahaja,” katanya.

Beliau berpendapat, guru-guru wajar berubah dan tidak takut merebut peluang menggunakan kaedah pembelajaran itu kerana banyak manfaat diperoleh dalam membantu murid-murid menghadapi cabaran masa depan.