Kementerian itu turut menyangkal dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mengekalkan norma kerajaan sebelum ini yang menyatakan bahawa pemberian dana dikuasai oleh beberapa yayasan swasta.

Jelas kementerian itu lagi, dana yang diperuntukkan kepada SJKT akan digunakan dengan teliti berdasarkan kriteria keperluan dan bukan disebabkan pengaruh tertentu.

“Kementerian sentiasa terbuka dengan pandangan daripada pelbagai pihak yang prihatin dalam membantu kemajuan SJKT.

“Kementerian juga telah bertemu beberapa organisasi termasuk Majlis Guru Besar dan wakil-wakil rakyat dalam kalangan masyarakat India yang memberikan maklumat secara langsung tentang keperluan sekolah,” jelas kementerian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah kementerian, rujukan secara terus dengan penyelia-penyelia sekolah serta guru besar SJKT turut dibuat supaya maklumat yang tepat dan sahih diperolehi.

“Kementerian amat memandang serius terhadap dakwaan bahawa kementerian dipengaruhi oleh persatuan-persatuan tertentu dalam menjaga kebajikan dan hal ehwal pembangunan SJKT,” kata kementerian itu. - UTUSAN ONLINE