Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, langkah itu diambil kerana sistem tersebut tidak menjurus kepada pembangunan murid secara keseluruhan tetapi hanya fokus kepada purata pencapaian murid di setiap sekolah rendah.

"GPS ini sebenarnya sudah menjadi amalan kita sejak dahulu. Jadi, saya telah arahkan mulai tahun ini, kementerian tidak meletakkan KPI untuk GPS bagi sekolah rendah sama ada di peringkat negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau sekolah kerana ia membawa satu budaya yang tidak menjurus kepada pembangunan murid secara keseluruhan.

"Apa yang berlaku bila adanya GPS ini, menyebabkan berlakunya perbandingan di peringkat negeri, PPD dan sekolah sehingga kita terlupa bahawa murid itu perlu diberi peluang sama rata dan setiap murid itu mempunyai keunikan tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Modul Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Amin berkata, pihanya akan memberikan penekanan terhadap program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam membentuk kemenjadian murid secara holistik.

Bagaimanapun, katanya, untuk peringkat sekolah menengah sistem GPS akan terus digunakan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana penjurusan untuk setiap pelajar telah dibuat.-UTUSAN ONLINE.