Inisiatif daripada 500 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan projek kelestari­an itu bertujuan mencapai hasrat mengatasi ancaman isu alam sekitar yang dihadapi masa kini.

Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Dr. Mohd. Sayuti Hassan berkata, projek itu adalah hasil kreativiti mahasiswa USM menerusi subjek Kelestarian Isu dan Cabaran.

Beliau berkata, projek itu bukan sahaja memperjuangkan aspek kitar semula malah membantu universiti dalam aspek penjimatan dan pembaziran.

“Naib Canselor amat bersetuju dengan hasil projek kelestarian ini dan berharap dapat dikongsi bersama komuniti luar untuk tujuan pengajaran dan kesedaran alam sekitar.

“Ini menambah semangat dan keyakinan mahasiswa untuk terus mengeluarkan idea kelestarian bagi tujuan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia program tersebut.

Tambah Mohd. Sayuti, Pejabat Aset dan Operasi (PAO) USM turut memberi sokongan berkenaan penggunaan baja kompos hasil sisa makanan di USM yang mana baja yang dihasilkan akan diberikan kepada PAO untuk kegunaan tanaman pokok di dalam kampus.

“Baja kompos yang dihasilkan menerusi program ini juga secara tidak langsung memberi penjimatan kepada universiti kerana baja yang dihasilkan oleh mahasiswa ini berkualiti setaraf dengan baja-baja yang dijual di pasaran luar,” katanya.