Seminar yang berlangsung selama dua hari itu turut mendapat kerjasama Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC) sekali gus mengangkat tema ‘Jaminan Kualiti untuk Pendidikan 4.0 : Strategi dan Inovasi dalam Pendidikan’.

Menurut satu kenyataan, seminar tersebut dihadiri oleh 170 peserta dari pelbagai latar Institusi Pengajian Tinggi yang mahu membentuk semula pendidikan tinggi semasa agar menjadi fleksibel dan inovatif.

“Selain itu, ia bertujuan untuk memberi persediaan kepada para graduan supaya bersiap sedia bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 di samping memastikan pihak institusi juga bersedia untuk bergerak ke arah Pendidikan 4.0.

“Jelasnya, seminar ini turut diadakan bagi mempromosikan pendekatan pengajaran, pembelajaran serta teknologi untuk Pendidikan 4.0 sejajar dengan tema yang dipilih untuk tahun ini,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.

Turut hadir merasmikan majlis, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Swasta, Dr. Mohd. Nor Azman Hassan, Presiden MyQAN, Prof. Shahrir Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr. Rahmah Mohamed serta Naib Canselor KPJUC, Prof. Datuk Dr Lokman Saim merangkap Pengerusi SieQA 2018.

SieQA 2018 telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Swasta, Dr Mohd. Nor Azman Hassan yang mewakili Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Kata kenyataan itu lagi, SieQA merupakan salah satu siri seminar yang diorganisasikan oleh MyQAN yang selaras dengan cadangan ke arah Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi) dan Pelan Strategik MQA 2020: Kualiti Inspirasi. – UTUSAN ONLINE