Chef-chef dari Malaysia kerap dipandang tinggi kerana keupayaan dan kepakaran mereka menghasilkan banyak sajian kreatif dengan menggunakan pelbagai jenis bahan dari seluruh dunia.

Berikutan perkembangan itu, Institut Makanan Malaysia (FIM) menganjurkan Festival Foodvibes yang berlangsung di kampus induk institut itu di Petaling Jaya, Selangor.

Melalui festival itu, para pelajar berpeluang untuk bertemu dengan chef terkenal Malaysia, memasak pelbagai makanan hidangan tradisi timur dan barat dan makanan ala gerai.

Majlis itu dirasmikan oleh dua chef selebriti terkenal, Chef Joe dan Chef Jaafar Onn.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif FIM, Yusop Khan Loth Khan dan Pengetuanya, Zubida Mohamed Haroon.

Kedua-dua chef itu turut menunjukkan kepakaran mereka melalui pengadilan pertandingan masakan yang dijalankan selain menganjurkan demo masakan kepada pelajar-pelajar FIM.

Sementara itu, Yusop Khan berkata, program julung kali itu bertujuan memberi pengalaman dan pendedahan mendalam dalam bidang masakan kepada pelajar FIM sebelum melangkah ke industri tersebut pada masa hadapan.

Katanya, FIM akan mempergiatkan program seumpama ini bagi memperkenalkan kursus kulinari dan masakan kepada masyarakat di luar sana.

“Pada masa akan datang, kita akan menghantar pelajar-pelajar FIM ke tempat-tempat yang menganjurkan pertandingan masakan sama ada di dalam dan luar negara selain membuat rangkaian dengan pelajar daripada bidang sama supaya dapat saling bertukar pendapat.

“Selain itu, kita akan adakan kursus pendek mengenai masakan yang akan dikendalikan oleh Penasihat Masakan FIM, Chef Joe dengan masyarakat setempat khususnya suri rumah boleh mempelajari resipi masakan dengan daripada Chef Joe” kata pada majlis perasmian Festival Foodvibes, baru-baru ini.

Sementara itu, Chef Joe berkata, program tersebut dapat memberikan input dan pendedahan berguna kepada pelajar.

“Saya terharu melihat ramai pelajar hari ini berminat dan bersungguh-sungguh ingin mempelajari lebih mendalam bidang masakan.

“Melalui festival ini mereka boleh menyertai pertandingan memasak bagi menguji kepakaran mereka dalam bidang ini,” katanya.

Festival Foodvibes yang berlangsung selama dua hari itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti demo memasak, demo mengukir buah oleh pelajar Diploma Seni Kulinari, pertandingan memasak dan banyak lagi bagi memeriahkan majlis tersebut

Sempena festival itu lebih 40 sajian masakan sajian utama dihidangkan termasuk pembuka selera dan pencuci mulut.