Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert dalam taklimatnya kepada 320 calon SPM yang mengikuti seminar itu berkata, pihaknya menawarkan pelbagai program pengajian yang menepati keperluan industri semasa dan masa depan.

“Biasiswa juga ditawarkan kepada pelajar yang menyambung pengajian di Kolej Antarabangsa YPC terutama mereka yang dari keluarga berpendapatan rendah.

“Peluang ini perlu dimanfaatkan kerana tawaran biasiswa pada era ini semakin terhad manakala persaingan pula bertambah se­ngit,” katanya.

Seminar ini melibatkan subjek Bahasa Melayu oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ban­dar Baru Sentul, Yahya Salam dan mata pelajaran Sejarah oleh Mohd. Muzlim Junoh, Guru Sumber Sejarah Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul.

Sementara itu, pelajar SMK Jinjang, Shirley Wong Shuet Yeng memberitahu, dia memperoleh ba­nyak ilmu baharu terutama daripada guru pakar yang ba­nyak memberi tip dan maklumat berguna kepada pelajar sebelum menduduki peperiksaan nanti.

Rakannya, Monashree Sutha­ya Kumar pula gembira dapat menyer­tai seminar itu yang dilihat sebagai peluang terbaik kepadanya melengkapkan persediaan terakhir sebelum menduduki SPM nanti.

“Sekarang saya rasa sudah agak suntuk untuk meneliti setiap nota pembelajaran kerana pada masa-masa ini pelajar harus kuasai teknik efektif menjawab soalan,” katanya.

Bagi Farisha Rasyiqah Ra’aizam, dia memperoleh ba­nyak maklumat baharu khususnya mengenai teknik menjawab soalan yang berkesan dan memenuhi keperluan pemeriksa soalan peperiksaan.