Pengarah Urusannya, Mahmod Mat Ali berkata, seminar itu mendedahkan pelajar dengan pelbagai teknik menjawab soalan mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta Sejarah.

“Program dua hari itu melibatkan lima buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, SMK Bukit Jelutong, SMK Subang Bestari, SMK Perempuan Raja Zarina serta SMK Seksyen 19, Shah Alam.

“Seminar kali ini agak berbeza kerana buat pertama kalinya diadakan selama dua hari dan kita turut menambah slot motivasi kepada peserta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelas Mahmod, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik pembelajaran yang lebih berkesan antaranya cara membahagikan masa, tidak mengulang kaji saat akhir serta memberikan tumpuan kepada subjek yang lemah.

“Dalam seminar ini peserta dibimbing oleh tenaga pengajar mahir dan berpengalaman dalam mengupas teknik menjawab soalan dengan tepat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan SMK Shah Alam, Mohd. Din Dollah menyifatkan program tersebut berjaya kerana banyak memberikan kesan positif ter­utama dalam sudut motivasi.

“Saya lihat pelajar terhibur dan bersemangat walaupun terpaksa menjawab soalan, selepas ini saya bercadang untuk membawa pelajar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mengikuti seminar ini,” katanya.