MoU tersebut antara Pro Naib Canselor LJMU, Prof. Peter Byers dan Kolej Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dengan disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang sebelum itu menjadi tetamu jemputan merasmikan Program Selangkah ke Menara Gading anjuran YPC di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Melalui MoU itu, bermula September ini, pelajar yang berjaya menghabiskan pengajian di bawah program berkenaan berpeluang me­nyambung pengajian selama tiga tahun peringkat ijazah di LJMU.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Datuk Dr. Noel Robert berkata, sebelum ini, pelajar yang mempu­nyai lima kredit SPM atau lebih mengikuti pengajian asas setahun dalam Program Perniagaan atau Asas Perniagaan Teknologi Maklumat dan menyambung pengajian program ijazah LJMU.

“Dengan MoU ini, pelajar yang mahu menyambung pengajian ija­zah tiga tahun di United Kingdom bo­leh memilih mana-mana daripa­da 19 program Sarjana Kese­nian atau Sarjana Program Sains yang di­tawarkan LJMU,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis MoU berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, YPC menawarkan 300 biasiswa ke­pa­da pelajar Program Asasi yang ingin melanjutkan pelajaran tiga ta­hun di United Kingdom.

Ini kerana, katanya, komitmen itu seiring dengan hasrat YPC yang mahu pelajar melengkapkan pengetahuan dan kemahiran yang terkini dalam perniagaan dan teknologi maklumat.

Menurut Syed Ali, setiap pelajar dalam satu keluarga yang mendaftar masuk ke dalam program asasi ini akan dapat menghasilkan penjimatan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 berbanding pelajar yang melanjutkan pengajian ijazah di Australia, New Zealand atau Amerika Syarikat.

“Keadaan ini memberi manfaat kepada ibu bapa dari golongan berpendapatan sederhana yang ingin menghantar anak mereka ke UK untuk meneruskan pengajian tinggi,” ujar beliau.

Penawaran biasiswa untuk program asasi ini memberi peluang yang sangat berharga kepada pelajar untuk mendapatkan ijazah da­lam masa yang singkat iaitu empat tahun sahaja iaitu 1 tahun asasi dan tahun 3 ijazah selepas tamat SPM.

Pelajar daripada keluarga ber­pen­dapatan sederhana dan tinggi mempunyai pilihan tambahan sa­ma ada untuk meneruskan penga­jian mereka di Liverpool John Moores University di UK dari tahun 1 atau dari tahun 2 atau pun pada tahun akhir ijazah mereka.

“YPC percaya bahawa kekura­ngan kewangan tidak seharusnya menjadi halangan kepada peluang pendidikan tinggi memandangkan program asasi selama setahun ini boleh menjimatkan masa dan wang pelajar,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 157 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lalu turut diberi anugerah dalam bentuk Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Ketika berucap pada majlis itu, Khairy memuji langkah proaktif yang dimainkan YPC dalam membangunkan modal insan berkualiti dengan menawarkan sistem pendidikan terbaik kepada golongan belia.

“Yayasan ini perlu diberi pengiktirafan kerana dengan hanya 50 orang pelajar ketika mula-mula beroperasi pada awal tahun 2000, kini YPC berkembang dengan begitu cemerlang,” katanya.