Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMP, Prof. Ir. Dr. Kamarul Hawari Ghazali berkata, pertandingan itu antara lain bertujuan memupuk minat dan memberi inspirasi kepada para pelajar dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejurute­raan dan Matematik (STEM).

“Objektif program ini adalah bagi membentuk kemahiran insaniah para pelajar dalam kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah.

“Program ini juga membim­bing pelajar terlibat dalam meng­aplikasikan pembelajaran jang­ka masa panjang melalui pendedahan secara terbuka tentang perisian dan perkakasan,” katanya ketika ditemui pada pertandingan berkenaan.

Yang turut hadir Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pe­jabat Pendidikan Daerah Pekan, Kamaluddin Abdul Latif dan ke­tua program itu, Dr. Nurul Haz­lina Nordin.

Menurut Kamarul Hawari, mahasiswa UMP bertindak sebagai mentor kepada pelajar yang menyertai pertandingan berkenaan.

Katanya, menerusi penganjuran pertandingan itu, mahasiswa UMP juga dapat melatih pelajar sekolah supaya meminati bidang STEM dan mempromosikan universiti tersebut sebagai salah satu pilihan untuk melanjutkan pelajaran kelak.

Sementara itu, Kamaluddin berkata, pertandingan sedemikian dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam aspek penyelesaian masalah, pemikiran kritis, sikap tabah dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Maklum balas yang diterima daripada pentadbiran sekolah begitu menggalakkan dan pelajar mendapat inspirasi serta semangat dalam bidang STEM ini,” katanya.