Pengetuanya, Nur Elisa Tee Lee Hwa berkata, melalui program tersebut sebanyak 13 daripada 18 subjek menunjukkan peningkatan keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan .

Ini kerana, katanya, suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan menyeronokkan telah berjaya menarik minat pelajar untuk memahami sesuatu pelajaran itu dengan baik dan bersedia menghadapi pembelajaran abad ke-21 secara global.

“Melalui program ini, pelajar tidak lagi sekadar mende­ngar arahan atau ajaran daripada gu­­ru, sebaliknya pelajar akan berbincang mengenai sesuatu topik secara berkumpulan dan akan membentangkannya di da­lam kelas.

“Selain mereka (pelajar) lebih memahami, pada masa sama, kaedah itu juga membantu me­ningkatkan keyakinan, kemahiran komunikasi dan ke­pimpinan, (pelajar)” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, kelmarin.

Tambah Elisa, walaupun Program Sekolah Amanah di sekolah ini bermula sejak November 2015, tetapi ia berjaya memberi impak positif serta diterima baik oleh warga pendidik di sini.

“Ini kerana guru-guru mendapat latihan khas melalui kursus selama dua jam sehari yang diadakan selepas waktu sekolah dan dipantau oleh syarikat penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan, LeapEd Services.

“Sekolah ini mempunyai 798 pelajar yang mempraktikkan program tersebut 100 peratus dan hasilnya pelajar semakin aktif semasa mengikuti sesi pem­belajaran, dan tidak ada lagi pelajar yang tidur dan pasif di dalam kelas,” jelasnya,

Jelasnya, konsep permainan seperti kuiz bukan sahaja mening­katkan daya pemikiran pelajar, malah pada masa sama membangkitkan semangat pelajar untuk belajar bagi mendapatkan ganjaran.

“Kita seronok melihat pelajar mula menunjukkan minat untuk mempelajari sesuatu pelajaran. Saya yakin sekiranya program ini diteruskan akan melahirkan ge­nerasi yang bijak serta mencapai matlamat penubuhan Yayasan AMIR,” katanya.

Beliau berkata, Peratuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu berperanan sebagai tunjang atau teras kepada kecemerla­ngan sesebuah sekolah dengan memainkan peranan penting menjadi sistem sokongan bagi sekolah untuk menjalankan aktiviti merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kebajikan.

“Alhamdulillah, ibu bapa sudah mula menerima sistem pendidikan ini apabila melihat perkembangan anak yang semakin baik dalam kelas dan peperiksaan. Malah, Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga banyak memberi sumba­ngan dan motivasi kepada pelajar untuk terus berjaya,” ujarnya.