Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Datuk Maimunah Suhaibul berkata, kesetiaan itu perlu dizahirkan memandangkan warga pendidik merupakan penjawat awam yang bertanggungjawab selaku pelaksana kepada dasar-dasar kerajaan.

Beliau turut menegaskan supaya warga pendidik tidak mengambil langkah mudah dengan memuat naik kenyataan berbaur rasa tidak puas hati di media sosial atau aplikasi Whatsapp berkaitan kerajaan.

“Saya ingin ingatkan guru-guru baharu ini bahawa anda semua merupakan penjawat awam di Malaysia. Oleh itu, kamu mempunyai peranan sebagai pelaksana kepada dasar kerajaan.

“Saya harap guru-guru baharu mahupun lama sedar mengenai peranan selaku penjawat awam. Jangan mudah terikut-ikut,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Guru Baharu Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah di Dewan Saadah Wisma Muis di sini hari ini.

Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Dr. Mohamad Kassim Ibrahim; Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Zaini Yanin serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Seramai 547 guru baharu diluluskan oleh Kementerian Pendidikan untuk ditempatkan ke sekolah rendah dan menengah di negeri ini termasuk guru-guru interim. Seramai 356 guru baharu bagi sekolah rendah manakala 191 sekolah menengah.

Dalam pada itu, ditanya sama ada terdapat warga pendidik di negeri ini yang diisytihar muflis ekoran membuat pinjaman melebihi had gaji, Maimunah menjelaskan perkara itu memang berlaku dan individu yang terlibat dirujuk ke lembaga tatatertib.

“Bagaimanapun, senario ini tidak membimbangkan kerana hanya segelintir sahaja,” katanya.

Sementara itu, Wan Munadi berkata, Yayasan Guru Malaysia Berhad akan memperhebatkan promosi bagi membolehkan semua para guru berdaftar dengan yayasan tersebut.

Katanya, setakat ini, seramai 100,000 orang guru telah menjadi ahli dan di Sabah hanya kira-kira 5,000 orang guru.

“Kita akan memperluaskan keahlian kita di seluruh negara termasuk di Sabah kerana penubuhan yayasan ini adalah untuk memastikan aspek kebajikan guru terbela,” katanya.-UTUSAN ONLINE