Adik beradik berkenaan Harvind Singh, 17, Sushmeet Kaur dan Rashmeet Kaur merupakan antara 12 penerima SGSP.

Harvind, 17, abang sulung kepada dua beradik tersebut berkata, tabiat menabung dipupuk sejak kecil oleh kedua-dua ibu dan bapa mereka.

“Ibu dan bapa saya sering menasihati kami untuk menabung dari kecil dan ibu saya pula memang sudah lama menabung dalam simpanan BSN.

“Jadi, saya dan adik-adik saya mengikut jejak ibu,” ujar Harvind yang mendapat tempat pertama anugerah SGSP kategori sekolah menengah bandar.

Menurut Harvind, wang simpanan tersebut adalah hasil daripada duit poket yang dikumpul dan bayaran yang diberi untuk membuat persembahan di majlis dan sekolah.

“Saya menabung setiap minggu atau bulanan, hasil daripada duit poket dan bermain gendang bersama-sama dua adik perempuan saya di majlis-majlis tertentu atau sekolah.

“Jadi, duit simpanan tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan apabila saya menyambung pelajaran nanti,” kata Harvind.

Katanya, duit yang dikumpul akan dibahagikan untuk tabung simpanan di rumah dan juga ke dalam akaun bank BSN.

Sementara itu, Nurulhuda Emanhosin, 17, juga turut menabung bagi menampung perbelanjaan apabila menyambung pelajaran di peringkat universiti.

“Bapa saya menggalakkan saya untuk menabung jika ada duit poket yang lebih untuk dibelanjakan apabila saya sambung belajar di universiti,” kata Huda, pemenang tempat kedua SGSP kategori sekolah menengah luar bandar.

Katanya, dia tidak mahu bergantung kepada ibu dan bapanya apabila melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dan memilih untuk berdikari.

Anugerah ini juga menyaksikan seorang pelajar kurang upaya, Ahmad Aliff Iqmal Rosli, 17, yang meraih tempat pertama dalam kategori sekolah menengah luar bandar.

Bapa Ahmad Aliff, Rosli Mohd Amin, 58, berkata, tabiat menabung telah dipupuk sejak Ahmad Aliff Iqmal berumur lapan tahun.

Katanya, simpanan tersebut dikumpul dari perbelanjaan sekolah anaknya dan juga bantuan daripada sesetengah pihak.

“Simpanan yang ada dikumpul dari perbelanjaan harian dan juga wang bantuan yang dihulur. Simpanan ini disimpan khas untuk masa depan anak saya,” katanya.

Rosli juga berharap dengan wang simpanan yang ada, masa depan anaknya tidak akan terabai dengan keadaan dia yang kurang upaya.

SGSP merupakan pertandingan skim simpanan yang diadakan secara tahunan di mana penyertaanyya terbuka kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah serta pihak sekolah.

SGSP diadakan sebagai satu inisiatif bagi memperkasa tabiat menabung dalam generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Pemenang pertandingan itu ditentukan berdasarkan peningkatan bersih jumlah simpanan, kekerapan simpanan dan juga purata simpanan sekolah sepanjang tahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember tahun lepas. - UTUSAN ONLINE