Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM3.2 juta diperuntuk untuk diagihkan kepada 49,853 murid dari 353 buah sekolah rendah di seluruh Terengganu dalam tempoh yang sama.

Beliau turut berpuas hati de­ngan segala proses pengagihan Susu 1Malaysia untuk semua murid terlibat dan memberi jaminan program tersebut akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Program ini telah diberi penjenamaan semula dan saya amat berpuas hati serta bersetuju de­ngan cadangan untuk meneruskannya pada masa akan datang. Saya ucap terima kasih kepada semua pihak atas usaha mereka menjayakan program ini.

“Saya juga telah tengok sendiri bagaimana proses program ini dijalankan bermula dari ladang tempat susu dikeluarkan hinggalah bagaimana proses penghantaran ke sekolah dan tahap keselamatan serta penggunaannya,” jelasnya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan program Susu 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2017 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerong dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Ke­rajaan negeri, A. Latiff Awang; Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan Guru Besar SK Jerong, Salmah Abd. Rahman.

Kamalanathan juga berharap semua pihak terlibat termasuk sekolah, guru selain Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa membuat pemantauan proses pengagihan susu dalam memastikan tahap keselamatan lebih terjamin.

Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian bahawa pihaknya bercadang memperluaskan program seumpama itu ke sekolah menengah dengan seberapa segera, selewatnya tahun hadapan.

Menurutnya, bagi tujuan itu, pihaknya sedang meneliti pelbagai perkara berkaitan termasuk dari segi kos serta keperluan yang masih dalam pertimbangan Kementerian Pendidikan sebelum dilaksanakan.

“Memang kita ada terima cadangan daripada pihak PIBG dan juga pemimpin kerajaan mengenai perkara ini, kita akan pertimbangkan dan mungkin akan kita laksanakan dalam waktu secepat mungkin tapi bukan tahun ini,” jelasnya.