Justeru, tidak hairanlah pe­nganjuran Kursus Penghasilan Cup Cake dan Hiasan oleh Kolej Komuniti Arau (KKA) di Makmal Pemprosesan Makanan di Jejawi yang dikhususkan untuk pelajar sekolah mendapat sambutan hangat.

Seawal pukul 8 pagi, seba­nyak 24 pelajar perempuan yang berusia dari tujuh hingga 15 tahun berkumpul untuk menyertai kursus berkenaan.

Ada dalam kalangan peserta tersebut yang datang bersama rakan sekolah, jiran, sepupu dan adik-beradik.

Wajah masing-masing nampak ceria kerana sangat teruja untuk menghasilkan cup cake yang akan dihias dengan icing (adunan gula halus berwarna-warni), manik dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, keba­nyakannya mengakui penyertaan dalam kursus tersebut lebih didorong oleh ibu masing-masing yang mahu anak perempuan mereka belajar cara membuat dan menghias cup cake atau kek cawan.

Bagi seorang peserta, Aqilah Husna Azmi, 15, dia menyertai kursus itu setelah mendapat dorongan daripada ibunya.

“Emak yang mendaftarkan nama saya untuk belajar buat dan hias cup cake supaya saya tidak membuang masa di rumah,” kata pelajar tingkatan ti­ga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri itu.


Video oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI

Menurutnya, pada musim cu­ti sekolah sebeginilah peluang baginya untuk belajar di kelas sedemikian, memandangkan dia tinggal di asrama.

Menyertai kursus itu juga memberikannya satu pengalaman menarik selain dapat berke­nalan dengan rakan-rakan yang ditempatkan semeja dengannya.

Bagi seorang kanak-kanak, Nor Anisa Balqis Mohd. Farizan, 7, pula dia me­nyertai kelas itu dengan ditemani kakak­nya, Nur Alia Sofea, 10 serta ibunya.

“Saya rasa suka sangat hendak belajar buat dan hias cup cake hingga terbawa-bawa dalam mimpi,” ujarnya yang mengakui letih selepas kelas tamat namun tetap gembira kerana dapat mempelajari perkara baharu.

Gadis kecil itu memberitahu, dia akan memberikan cup cake yang dihasilkannya kepada ahli keluarganya termasuk ibu, bapa, adik, nenek dan sepupunya apabila pulang nanti.

Bagi pasangan adik-beradik, Hanis Sofea Abdul Aziz, 12, dan adiknya, Nurul Aqilah, 11, juga mendapat galakan daripada ibu yang mahukan mereka berdua didedahkan dengan pengalaman membuat dan menghias cup cake.

Hanis Sofea berkata, dia dan adiknya teruja ingin belajar ba­gaimana membuat dan menghias cup cake melalui kursus yang diadakan itu nanti akan digunakan untuk membuatnya di 
rumah.

Katanya, resepi untuk membuat cup cake adalah mudah tetapi untuk menghiasnya agak rumit kerana memerlukan ba­nyak latihan sebelum dapat menghasilkan corak yang lebih cantik.

Nurul Aqilah pula berpendapat, bantuan tenaga pengajar juga menjadikan cara membuat dan menghias cup cake menjadi lebih mudah selain merasa seronok kerana berpeluang menyertai kursus berkenaan.

Sementara itu, pensyarah KKA, Nurdiyanah Fatin Raslan berkata, kursus tersebut yang berlangsung mulai pukul 8 pagi hingga 1 petang disasarkan untuk pelajar sekolah.

“Sekurang-kurangnya pelajar dapat mengisi masa terluang sewaktu musim cuti sekolah lebih sebulan ini agar dapat dimanfaat dengan kursus berfaedah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, setiap seorang hanya dikenakan bayaran sebanyak RM30 yang meliputi kit mengandungi resepi, apron dan bahan yang digunakan untuk membuat cup cake dan 
hia­san.

Di akhir kursus, Farrah Izzah Mohd. Aishanuddin, 14, diumumkan sebagai pemenang hia­san cup cake paling cantik.