Program itu disertai Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr. Zainal Aalam Hassan; Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Rosdi Ismail dan Pengetua SMK Ahmad, Nor Hasimah Abdul Ghaffar.

Program berkenaan turut menyaksikan penyertaan kira-kira 200 orang  terdiri daripada pelajar dan guru sekolah tersebut, ibu bapa, kakitangan Jabatan Pendidikan negeri serta Kementerian Pendidikan.

Selain program gotong-royong, Kementerian Pendidikan turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi tujuan penyelenggaraan infrastruktur di SMK Ahmad.

Sementara itu, ketika berucap merasmikan program Jelajah Pendidikan 2017 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, Zainal Aalam berkata, lebih 100,000 pengunjung direkodkan hadir ke program tersebut di 10 buah negeri tidak termasuk penganjuran di negeri ini yang bermula hari ini.

"Negeri-negeri yang telah dijelajahi adalah Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak.

"Jumlah kehadiran ini adalah di luar jangkaan.

"Kaedah bersemuka dengan pihak di peringkat akar umbi wajar dijadikan amalan seperti disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam merangka dasar baharu negara daripada rakyat kepada kerajaan melalui pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya. - UTUSAN ONLINE