Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Tajaan itu melibatkan kira-kira 13,300 sisipan yang akan menjadi bahan rujukan kepada sekolah-sekolah terlibat serta SK Kuang yang mempunyai 207 murid termasuk tiga calon Program Pembelajaran Khas Inklusif (PPKI) yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada pertengahan bulan depan.

Menurut Abdul Shukor, sumbangan sisipan itu merupakan salah satu usaha bagi meningkatkan taraf pendidikan murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang yang turut melibatkan beberapa sekolah lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Puteri, SMK Seri Kundang, SMK Tuanku Abdul Rahman, SK Seri Kundang, SK Bandar Tasik Puteri , SK Tasik Puteri 2, SK Batu Arang dan SK Sungai Serai.

“Bahan bantu proses pem­belajaran tersebut layak menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi keputusan peperiksaan UPSR SK Kuang kelak.

“Melalui sumbangan sebelum ini, ramai guru dan murid sekolah sekitar kawasan ini memberi maklum balas yang positif khususnya dalam memudahkan proses pembelajaran,” katanya.

Terdahulu, beliau dan wakil Utusan Malaysia, Ema Izzaila Ibrahim menyerahkan tajaan itu kepada Guru Besar SK Kuang, Siti Fatimah Mat Hasan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Norizan Nordin.

Sementara itu, Siti Fatimah berkata, Tutor diyakini akan mengubah pemikiran murid serta melengkapkan pembelajaran murid dalam semua mata pelajaran.

Tambah beliau, bentuknya me­narik selain ia turut dihiasi warna yang menyejukkan mata sekali gus menjadi daya penarik kepada murid.

“Tahun ini, SK Kuang me­nyasarkan seramai 35 murid akan mendapat keputusan 6A dalam semua mata pelajaran.

“Fokus kita adalah kepada murid yang mempunyai masalah daripada segi pembelajaran serta mereka yang sering gagal dalam beberapa mata pelajaran,” kata­nya.