Pengarah Eksekutif FrogAsia, Lou Yeoh berkata, 1BNTA pen­ting untuk meraikan dan mengiktiraf pendidik yang telah berjaya memperhebat generasi muda di Malaysia melalui penggunaan teknologi di dalam kelas.

“Guru-guru adalah pembentuk kepada pemimpin pada masa akan datang, justeru saya berharap akan lebih ramai guru yang mengamalkan penggunaan teknologi di dalam bilik darjah dalam usaha untuk mengadaptasi pendidikan abad ke-21 (PAK-21),” katanya.

Dengan sokongan Kementerian Pendidikan, 1BNTA diperkenalkan sebagai program penganugerahan peringkat kebangsaan bermula tahun 2014 dan pada tahun ini, seramai 10 guru disenarai pendek melalui proses pencalonan untuk dipilih oleh orang ramai secara dalam talian (online).

Hadiah kepada pemenang di­sampaikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam majlis perasmian Festival Hari Guru peringkat kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall, baru-baru ini.

Guru Sekolah Kebangsaan Raja Bahar, Saifulnizan Che Ismail diumumkan sebagai pemenang tempat pertama 1BNTA 2017, diikuti guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Tuaran, Kamisah Mohd. Khamis dan guru SMK Jalan Reko, Mohamad Jalil Mohamad Yunus di tempat ketiga.

Pemilihan pemenang utama berdasarkan dua proses iaitu undian dan penjurian. Pemenang menerima piala 1BNTA 2017, Chromebook, aksesori komputer dan tiket Petrosains.

Selain pemenang utama, dua anugerah khas diperkenalkan tahun ini iaitu anugerah penerima undian tertinggi yang dimenangi Huszarudin Hussin guru SK Felda Lok Heng Selatan dan anugerah penghargaan khas kepada Noridah Hamdan untuk usahanya memartabatkan PdPc abad ke-21.

1BestariNet diperkenalkan da­lam Pelan Pembangunan Pendi­dikan Malaysia untuk meng­hu­-
bungkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara menggunakan sambungan Internet YES 4G dan Frog VLE iaitu sebuah platform pembelajaran secara maya.

Frog VLE diperkenalkan oleh FrogAsia dengan tujuan mentransformasikan pendidikan me­­lalui pelaksanaan inisiatif ber­ teraskan konsep PAK-21.

Bagi merealisasikan pelaksanaannya, projek 1BestariNet diperkenalkan dengan tumpuan memberi akses sama rata dan menaik taraf kualiti pendidikan di negara kita.

Bagaimanapun, hasrat dan aspirasi pendidikan negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa sokongan padu daripada guru kerana mereka yang paling hampir dengan murid dan berupaya membekalkan murid dengan kemahiran serta pengetahuan yang diperlukan.

Dalam konteks ini, 1BNTA mendorong guru melengkapkan murid dengan set kemahiran 5C iaitu Pemikiran Kritis (Critical Thinking), Kreativiti (Creativity), Kolaborasi (Collaboration), Perwatakan (Character) dan Komunikasi (Communication).