Pengarah Pendidikan JPNS, Pkharuddin Ghazali berkata, pendekatan turun ke lapangan ini bertujuan membantu sekolah membudayakan amalan terbaik bagi melonjakkan kualiti pendidikan bukan sahaja dalam aspek akademik malah merangkumi penerapan nilai-nilai murni, kemahiran insaniah dan sahsiah.

“Pendekatan menggunakan ‘bahasa sekolah’ ini bukan untuk memantau atau mengaudit apatah lagi mencari salah, tetapi bertujuan me­ngenal pasti pendekatan strategik yang boleh dilaksanakan dan mudah dicapai oleh guru dan pentadbir secara menyeluruh tidak terhad kepada Sekolah Transformasi di bawah Program TS25 sahaja.

“Pada masa sama, pendekatan bersemuka ini yang melibatkan semua pihak berkepentingan bermula dengan guru diikuti oleh murid, ibu bapa serta masyarakat, dapat mewujudkan hubungan baik yang terbukti menjadi antara resipi rahsia kejayaan sistem pendidikan di Finland” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Watikah Program TS25 Kohort 3.0 dan Sesi Perkongsian Ilmu Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif (CIDS) yang dibangunkan oleh bekas Pensyarah Cemerlang Gred Khas JUSA B, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain di JPNS, Seremban, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Sektor Jaminan Kualiti JPNS, Maznah Abu Bakar.

Sebanyak 20 sekolah terpilih dalam kohort 3.0 ini, tambahan kepada masing-masing lima sekolah pada kohort 1.0 dan 2.0, menjadikannya 30 sekolah transformasi di Negeri Sembilan.

Sekolah Transformasi ini menjadi peneraju atau model kepada sekolah lain dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan; diterajui kepimpinan berkualiti dan berwawasan; memiliki guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi, dan mempunyai komitmen padu de­ngan komuniti.

Menurut Pkharuddin, selepas berjumpa dan berdialog dengan guru, pihaknya akan mengadakan sesi sama dengan murid dalam perhimpunan sekolah bagi memupuk potensi dan mengupayakan keyakinan diri mereka.

“Seterusnya, pada tahun depan, sesi sama juga dirancang diadakan dengan ibu bapa dan masyarakat bagi membina hubung­an yang baik di samping memberi penjelasan mengenai perubahan dalam sistem pendidikan negara kita yang tidak lagi berorientasikan peperiksaan.

“Hal ini penting agar tidak timbul desakan daripada mereka untuk mengekalkan pengukuran prestasi berdasarkan pencapaian akademik semata-mata,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai CIDS, Pkharuddin menyatakan penghargaan kepada Dr. Ismail yang membenarkan penggunaan sistem itu di sekolah transformasi JPNS secara percuma.

“CIDS amat membantu guru merancang pengajaran yang berkesan berdasarkan profil murid kerana mulai sesi persekolahan 2018 tiada lagi pengasingan kelas mengikut pencapaian akademik murid,” katanya.

Sistem ini juga, ujar Pkharuddin, memudahkan proses yang kompleks dalam penghasilan rancangan pengajaran harian secara digital.