Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak­nya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan berbincang mengenai terma dan rujukan tersebut dengan mengambil kira aspek infrastruktur, kokurikulum dan tenaga pengajar.

“Saya telah bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam bagi membincangkan langkah meletakkan sekolah tahfiz di bawah satu sistem.

“Pegawai daripada kementerian dan Jakim akan berbincang dalam masa terdekat sebelum kita me­mulakan usaha pendaftaran sekolah tahfiz,” katanya selepas merasmikan Multaqa Pengetua dan Guru Besar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan Agama (SMKA) serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajudin Jab dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Nor Hayati L Isa.

Mahdzir sebelum ini memaklumkan akan mengadakan perte­muan bersama Jamil Khir bagi membincangkan pendaftaran se­kolah-sekolah agama tahfiz swasta di seluruh negara.

Langkah itu diambil ekoran kes kematian pelajar di sebuah madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, minggu lalu.

Sementara itu, Mahdzir menyeru semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK untuk me­lonjakkan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di sekolah masing-ma­sing.

Katanya, agama Islam sendiri menitikberatkan aspek penguasaan ilmu yang bukan sahaja fardu ain tetapi juga fardu kifayah iaitu merangkumi bidang STEM.

“Pencapaian akademik dan ko­kurikulum yang diperoleh SMKA dan SABK menunjukkan sekolah-sekolah ini tidak ketinggalan dalam perkembangan pendidikan negara.

“Apatah lagi masyarakat menaruh harapan besar kepada SMKA dan SABK dalam pembentukan sahsiah dan pendidikan agama kepada anak mereka, jus­teru aspek kualiti perlu dititikbe­ratkan oleh semua warga pendi­dik,” katanya.